MAT rempit ditahan dalam operasi sebelum ini. FOTO fail NSTP
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) belum memutuskan tempat dan lokasi bersesuaian untuk dijadikan litar lumba kepada 'mat motor' untuk mengelakkan mereka berlumba secara haram.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang mengkaji dan meneliti lokasi yang bersesuaian di beberapa kawasan untuk dijadikan lokasi bagi mereka berlumba secara sah.

"Semua PBT di tiga Wilayah Persekutuan iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan terbabit untuk meneliti setiap kawasan yang sesuai bagi dijadikan litar khusus untuk untuk mereka berlumba pada waktu malam.

"Kita mengambil kira semua komen dan cadangan dari pelbagai pihak sebelum menentukan kawasan yang sesuai bagi mengelakkan sebarang kerosakan dan kemalangan berlaku," katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Pentadbiran kepada Badan Sukan di Wilayah Persekutuan 2016 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, kementeriannya akan menyediakan kemudahan litar lumba kepada 'mat motor' di Kuala Lumpur untuk mereka berlumba dan mengadakan pelbagai aktiviti lain.

Beliau dipetik berkata, kemudahan yang disediakan itu demi memastikan 'mat motor' melakukan aktiviti mereka tanpa menyusahkan orang ramai.

Menurut laporan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti lokasi bersesuaian dan litar yang bakal disediakan nanti adalah laluan sedia ada di bandar ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 7:28 PM