ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke hospital. FOTO Mohd Adan Arinin
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Mayat lelaki yang sudah reput ditemui dalam keadaan duduk di kerusi rotan di tingkat 3, Kompleks Sinsuran, di sini, petang tadi.

Mangsa, Au Fook Choi, 63, yang juga bekas peguam ditemui oleh rakannya kira-kira 1 petang selepas curiga mangsa tidak menghubunginya sejak lebih dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah berlaku.

"Berdasarkan keterangan rakan mangsa, dia menghidap penyakit namun tidak pernah memaklumkan kepada rakannya mengenai jenis penyakit yang dihidapi.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 6:23 PM