SUSPEK yang dipercayai menghempas bayi perempuan berusia 19 bulan sehingga mati di sebuah pangsapuri di Putra Perdana dibawa ke Mahkamah Sesyen, Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Sepang: Seorang penganggur dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh anak teman wanitanya.

Lelaki terbabit, Aizat Abdullah Othman, 22, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Hannah Sufiyah Muhammad Adib di rumah sewa ibu bayi terbabit di di Blok B, Apartmen Teratai, Putra Perdana, Puchong jam 1.40 petang pada 31 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengangguk kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalib.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Mei bagi menunggu laporan forensik dan kimia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aziatul Afrizan Alias dan tertuduh diwakili peguam Kee Wei Lon.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan berusia 19 bulan maut selepas dipercayai dihempas oleh teman lelaki ibunya selepas mangsa dikatakan menangis kerana ingin mengikut wanita itu ke tempat kerja.

Hannah Sufiyah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia klinik di Putra Perdana ketika mendapatkan rawatan.

Laporan bedah siasat mendapati sebab utama kematian mangsa adalah pendarahan di kepala dan perut akibat dipukul dengan benda tumpul.

Suspek lelaki yang berasal dari Marang, Terengganu, ditahan di Hospital Serdang sebaik selesai bedah siasat, manakala ibunya diberkas di Hentian Jejantas Sungai Buloh ketika hendak membawa jenazah mangsa ke Alor Setar, Kedah beberapa jam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 12:05 PM