PENYOKONG calon Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengangkat tangan bagi menunjukkan gelang getah yang tertera nama pemimpin itu.
AFP

Manila: Pihak berkuasa Filipina menyiasat satu kejadian pencerobohan terhadap sistem komputer Suruhanjaya Pilihan Raya, kurang sebulan sebelum pilihan raya umum di negara itu.

Kejadian pada 27 Mac lalu itu menyebabkan beberapa fail agensi berkenaan disalin dari laman webnya oleh penggodam yang belum dikenali.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya menegaskan, data yang mengandungi maklumat 55 juta pengundi berdaftar negara itu tidak terjejas.

Jurucakap agensi itu, James Jimenez berkata, penyiasat masih menilai kesan pencerobohan berkenaan terhadap pilihan raya umum pada 9 Mei ini yang tetap diteruskan.

Dia juga menolak laporan sebuah firma komputer yang mendakwa data sensitif pengundi termasuk rekod cap jari bocor.

“Data yang disalin ini tidak termasuk rekod biometrik,” tegasnya.

Menurutnya, kejadian itu disiasat pakar jenayah siber kerajaan manakala agensi berkenaan mengukuhkan sistem perlindungan komputer bagi menangkis serangan penggodam.

Pilihan raya Mei ini akan memilih calon menggantikan Presiden Benigno Aquino yang sudah tamat dua penggal pemerintahannya.

Pengundi juga akan memilih beberapa jawatan penting lagi termasuk naib presiden, anggota senat dan pemimpin tempatan.

Firma keselamatan komputer, TrendMicro melaporkan, keseluruhan data Suruhanjaya Pilihan Raya dimuat naik ke Internet oleh kumpulan penggodam selepas satu lagi kumpulan menggodam laman sesawang agensi itu.

“Laporan awal mendakwa impak pencerobohan itu kecil, tetapi siasatan kami mendapati sejumlah besar data sensitif seperti maklumat pasport dan cap jari dicuri,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 10:38 AM