AWANG (dua kanan) menunjukkan antara bungkusan dadah yang berjaya dirampas dalam sidang media di IPK Sabah, pagi tadi. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Polis berjaya menahan seramai lima individu termasuk seorang wanita dan merampas 6.6 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM522,000 dalam dua serbuan berasingan di Kota Kinabalu dan Sandakan, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang hingga 12 tengah malam itu, lima suspek warga tempatan yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan selepas disyaki terbabit secara langsung dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer berkata, aktiviti semua suspek itu terbongkar susulan penahanan seorang wanita di Terminal Bas Inanam kira-kira jam 6 petang semalam yang didapati membawa sebuah kotak mengandungi lapan bungkusan berisi dadah syabu seberat 6.2 kilogram.

"Susulan tangkapan suspek wanita itu, polis kemudiannya berjaya menahan empat lagi lelaki di bandar raya ini dan Sandakan pada hari yang sama.

"Polis turut berjaya merampas 400 gram syabu lagi dalam tangkapan suspek di Sandakan," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan kini di bawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 9:48 AM