CIP baru menambah baik pengalaman pengguna.
ADRENO menyesuaikan proses grafik.
GRAFIK tinggi langsung tidak mendatangkan masalah.
JIM Cathey.
CAS pantas dengan Snapdragon 820.
CIP 820 mudahkan kesepaduan.
BANYAK telefon pintar mula dipasang dengan cip Qualcomm.
TUJUH telefon guna Snapdragon 820.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Anda sudah biasa mendengar jenama dan syarikat pengeluarnya seperti Samsung, Xiaomi, LG serta Sony yang menghasilkan telefon pintar dengan pelbagai fungsi menarik sesuai mengikut cita rasa.

Sebut saja ciri kamera, kelajuan telefon, betapa pantasnya ia beroperasi dan macam-macam lagi namun hakikatnya tidak ramai yang mengetahui tulang belakang kepada inovasi terbabit.

Berbekalkan rekaan kecil yang dimampatkan dalam telefon pintar, cip pemprosesanlah menjadi nadi kepada gajet yang mungkin anda pegang sekarang.

Tanpanya, jangan harap telefon pintar anda mampu beroperasi seperti biasa!

Oleh itu, kuasa cip pemprosesan tidak boleh diketepikan setiap kali kita berbicara mengenai telefon pintar.

Qualcomm antara pengeluar cip pemprosesan terbabit dan ia popular digunakan syarikat pengeluar telefon pintar seperti Samsung.

Paling baru, syarikat terbabit mula agresif memperkenalkan cip pemprosesan terkini mereka, Snapdragon 820 yang jelas merubah ciri dalam telefon pintar itu sendiri.

Sehingga kini, lebih tujuh telefon pintar sudah tersedia dengan cip pemprosesan yang dihasilkan syarikat pengeluar, Qualcomm membantu menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi pengguna gajet sehingga kini.

Tujuh telefon pintar terbabit termasuk Samsung Galaxy S7/S7 edge, LG G5, HP Elite X3, Xiaomi Mi5, LeEco Le Max Pro, Sony Xperia Performance dan Vivo Xplay 5S. Cip pemprosesan Snapdragon 820 membantu menambah kapasiti bateri telefon 30 peratus lebih baik sekali gus mengurangkan penggunaan ‘powerbank’ yang kerap diusung pengguna telefon pintar sekarang.

Jika sebelum ini, cip pemprosesan membolehkan penggunaan aktif sehingga lapan atau sembilan jam, Snapdragon 820 mampu memberi lebih masa sehing­ga 13 jam. Selain itu, cip terbabit membantu telefon pintar memperkemaskan ciri kamera mereka apabila menyediakan ciri yang memasukkan lebih banyak cahaya ketika merakam foto yang membantu pengguna ketika pencahayaan kurang.

Bagi meningkatkan kecekapan bateri, Qualcomm juga menyediakan teknologi Quick Charge 3.0 yang datang dalam Snapdragon 820 membolehkan pengguna mengecas telefon sehingga 80 peratus dalam tempoh hanya 35 minit.

Presiden Qualcomm APAC & India Jim Cathey, berkata pemprosesan yang dihasilkan syarikatnya datang dengan ciri disasarkan bagi penggunaan berbeza namun Snapdragon 820 paling mempunyai kuasa.

“Kami menyasarkan untuk menyediakan lebih 100 peranti dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 820 pada tahun ini,” katanya.

Tambahnya, penyediaan terbabit bukan saja tertumpu kepada telefon pintar dan tablet semata-mata.

“Sudah pasti dengan zaman berteknologi tinggi, ia disasarkan kepada penggunaan peranti lain seperti alat maya (VR) dan peranti boleh pakai (wearable),” katanya.

Snapdragon 820 mencuri tumpuan apabila teknologi yang wujud membolehkan sambungan lebih baik dengan rangkaian dalaman X12 LTE yang baru.

Sambungan rangkaian LTE hingga 600 Mbps dan WiFi sehingga multi-gigabit 802.11ad sudah pasti cukup untuk melajukan mana-mana kandungan yang anda harapkan dalam telefon anda.

Bagi keupayaan grafik pula, Snapdragon 820 dayang dengan Qualcomm Adreno 530 yang membangunkan kerja grafik dan perkomputeran dalam peranti 40 peratus lebih baik berbanding GPU Adreno 530.

Ia juga berita baik kepada penggemar telefon pintar yang memanfaatkan telefon sebagai kamera kerana Qualcomm membantu menghasilkan rakaman ala DSLR yang menggunakan pemprosesan imej 14-bit Qualcomm Spectra menghasilkan gambar berkualiti pada resolusi tinggi menggunakan perkomputeran jenis heterogen untuk pemrosesan lanjutan.

Dari keseluruhan aspek teknikal di atas, penulis merumuskan kuasa pemprosesan yang dihasilkan Qualcomm Snapdragon 820 mampu merubah senario industri telefon pintar di dunia pada tahun ini.

Bukan saja mengenai telefon pintar semata-mata, pemprosesan terbabit membenarkan kesepaduan dengan gajet lain yang terus mendapat tumpuan pengguna seperti peranti VR dan jam pintar.

Secara keseluruhan, peng­guna memerlukan kuasa pemprosesan yang benar-benar melancarkan ketiga-tiga sambungan ini dan ia sesuai dengan beban kerja boleh ditampung pemprosesan Snapdragon 820 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 11:54 AM