HAZWAN (kanan) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Selayang: Selangor bangkit daripada aksi hambar untuk menang 2-1 ke atas Sheikh Jamal Dhanmondi dalam aksi Kumpulan E Piala AFC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang), malam tadi.

Namun apa yang paling mencuri tumpuan adalah layangan dua kad merah diterima kedua-dua pasukan dengan Red Giants dan kelab dari Bangladesh itu terpaksa beraksi 10 pemain.

Berdasarkan kemenangan itu, Selangor kini mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri selepas empat aksi.

Pada awal permainan, pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan pantas mendominasi dengan beberapa percubaan menggegar gol lawan namun tuan rumah hanya memperoleh jaringan pembukaan pada minit ke-16 menerusi Ahmad Hazwan Bakri selepas beberapa usaha sebelum itu menghampakan.

Walaupun terus menguasai perlawanan, Selangor dikejutkan dengan jaringan penyamaan pasukan pelawat menerusi rembatan Landing Darboe pada minit ke-35 selepas situasi kelam kabut di depan gawang Khairul Azhan Khalid.

Terikat 1-1 nyata mencemaskan penyokong Selangor yang terus memberi semangat dengan memalu gendang dan rebana bagi menyuntik motivasi pasukan mereka.

Pada minit ke-56, tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Hafiz Kamal diperintahkan keluar padang biarpun bekas tonggak Tok Gajah itu sekadar menepuk bahu pemain pelawat.

Bagaimanapun, pelawat juga menerima nasib sama apabila Yeasin Khan menerima kad kuning kedua pada minit ke-67, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi dengan kekurangan seorang pemain.

Selangor yang dihimpit kontroversi susulan pergaduhan pemain di bilik persalinan dalam perlawanan Liga Super selepas aksi menentang FELDA United Jumaat lalu, lebih bernasib baik apabila menemui gol kemenangan hasil penyudahan Patrick Ronaldinho pada penghujung aksi.

Kejayaan mengutip tiga mata itu kembali mencerahkan laluan Selangor untuk mara ke pusingan kedua dengan aksi berikutnya berdepan kelab Filipina, Ceres FC di Selayang pada 26 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 10:32 AM