BERNAMA

Alor Setar: Remaja bawah umur yang mahu berkahwin perlu mendapatkan kebenaran Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri masing-masing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata perkara ini akan dimasukkan dalam pindaan Akta Kanak-kanak 2001 selepas diluluskan di Parlimen baru-baru ini bagi mengelak berlakunya perkahwinan pada usia muda dalam kalangan remaja perempuan.

Katanya rata-rata perkahwinan pada usia muda disebabkan mereka terlanjur yang akhirnya remaja perempuan itu dibenarkan keluarga untuk berkahwin.

Beliau berkata ibu bapa perlu memainkan peranan penting memberi pendidikan agar remaja perempuan diberi masa dan ruang dengan aktiviti lebih sihat agar tidak terjerumus dalam kancah perkahwinan pada usia muda.

"Kita bimbang bila kahwin pada usia muda, mereka tidak dapat kawal emosi menyebabkan rumah tangga bergolak sekali gus menyebabkan berlaku masalah sosial dalam masyarakat," katanya selepas merasmikan Seminar Mengenai Hak dan Isu Wanita serta Kanak-kanak di sini, hari ini.

Nancy berkata di Kedah, 105 kes permohonan perkahwinan bawah umur tahun lalu, berbanding 76 kes pada tahun 2014 dan 38 kes pada 2013.

"Bagi Januari hingga 29 Feb tahun ini, 13 kes permohonan perkahwinan bawah umur direkodkan dan ia amat serius serta perlu dibendung," katanya.

Sementara itu, Nancy berkata 552 kes dicatatkan pada tahun lalu, membabitkan keganasan rumah tangga di negeri ini berbanding 404 kes pada tahun 2014 serta 284 pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 7:36 PM