Sebahagian daripada 22 warga Filipina keturunan Suluk yang dijatuhi hukuman penjara dan pulang ke negara asal oleh Mahkamah Majistret Manjung, pagi tadi. FOTO Yahya Zain
Mohd Hafizee Mohd Arop

Manjung: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan 22 warga Filipina keturunan Suluk termasuk seorang wanita dipenjara enam bulan dan diusir pulang ke negara asal selepas mengaku salah atas pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

Semua tertuduh berusia 21 hingga 45 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Mengikut fakta kes, mereka ditahan sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak dalam satu operasi di Jalan Pelabuhan, Taman Perindustrian Industri Kecil dan Sederhana (IKS) , Kampung Acheh 2 dekat sini kira-kira 6.30 pagi 31 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum mengikut peraturan sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pengawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang juga Ketua Unit Pendakwaan JPN Putrajaya, Mohd Fazdhly Abdul Razak dibantu Pegawai Pendakwa JPN Perak, Ahmad Firdaus Che Md Rose manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 12:55 PM