MA mempunyai harapan besar terhadap masa depannya.
ROGER lebih memahami perisian komputer.
NG yakin akan mendapat pekerjaan yang baik.
GRADUAN ICDL bergambar beramai-ramai.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Ramai berpendapat belia yang kurang berkemampuan atau berasal daripada keluarga berpendapatan rendah mempunyai peluang tipis untuk berjaya serta mengecapi kestabilan kewangan.

Namun pada hakikatnya, pilihan yang dibuat oleh mereka mempengaruhi kejayaan dan bukan kerana faktor kesempitan hidup, seterusnya mencorak masa depan seseorang.

Berpegang kepada prinsip semua kanak-kanak berhak mendapat peluang pendidikan yang sama rata, Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) memulakan program Sudut IT F&N sejak 2010 untuk membantu belia Montfort Boys Town menimba kemahiran komputer sebagai batu loncatan untuk merebut masa depan lebih cerah.

Sejak 2011, Sudut IT F&N memberi peluang kepada pelajar Montfort Boys Town untuk mengikuti program Pensijilan Kursus Kecelikan Komputer (ICDL) yang mengambil masa selama enam hingga lapan bulan.

Kursus itu yang dibiayai sepenuhnya oleh F&N ditawarkan kepada graduan tahun akhir untuk membolehkan mereka mendapat kemahiran dan kecekapan yang diperlukan dalam penggunaan dan aplikasi umum komputer. Ini termasuk pengurusan fail, pemprosesan kata, pengurusan hamparan elektronik, pangkalan data dan pembentangan, serta fungsi maklumat dan komunikasi.

ICDL itu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, turut mendapat sokongan kerajaan, pelbagai organisasi antarabangsa dan syarikat korporat di peringkat global.

Secara tidak langsung, ia memberi kelebihan kepada pelajar apabila mereka mencari peluang pekerjaan. Setakat ini, program itu sudah memberi manfaat kepada lebih 200 pelajar, sekali gus membuktikan status seseorang dalam masyarakat bukan penghalang untuk mencapai impian dan kejayaan.

Pelajar Penyenggaraan Komputer, Ng QiuTeng, 20, membuktikan hakikat itu. Dia yakin mendapat pekerjaan yang baik di luar negara selepas menamatkan kursus ICDL.

“Saya membuat keputusan mengikuti kursus ICDL atas nasihat kakak saya yang juga belajar di Montfort. Dengan kelayakan yang diiktiraf antarabangsa, dia mendapat pekerjaan dengan tangga gaji yang baik di Singapura.

Saya berharap dapat mengikut jejak langkahnya selepas saya tamat kursus nanti,” katanya yang berasal dari Tangkak, Johor.

Pada masa sama, pelajar Seni Reka Grafik, Ma Ke Ney, 20, yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, bertekad membina masa depan lebih cerah selepas menamatkan kursus ICDL.

Pada awalnya, dia berasa kursus itu agak berat untuknya kerana dia tidak biasa dengan subjek perisian.

“Mujurlah guru sangat sabar dengan saya dan dengan tunjuk ajar mereka saya dapat mengumpul kemahiran dalam masa yang singkat.

“Kursus ICDL melengkapkan kami dengan kemahiran penting yang bukan saja diperlukan apabila kami mencari pekerjaan, tetapi juga apabila melanjutkan pelajaran kami,” katanya.

Ma bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ilustrasi selepas menamatkan kursus.

Sementara itu, rakannya yang juga berasal dari Klang, Roger Robin Raj mengakui, pemilihan kursus Penyenggaraan Komputer satu keputusan yang mudah baginya.

Katanya, walau dalam apa juga industri, masa depan perniagaan banyak bergantung kepada teknologi.

“Pengetahuan komputer sangat penting dalam apa juga pekerjaan. Menerusi kursus ICDL, saya dapat meningkatkan kefahaman saya mengenai perisian asas komputer dan seterusnya ini akan menjadi kelebihan apabila saya mencari kerja,” katanya.

Menurut guru Seni Reka Grafik dan alumni Montfort, Lee Wai Kok, kursus pensijilan itu adalah program asas yang baik untuk pelajar.

Pensijilan yang diiktiraf antarabangsa juga memberi kelebihan kepada pelajar apabila mereka memasuki alam pekerjaan.

Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat F&NHB Karen Tan berkata, memandangkan komputer menjadi alat penting dalam hampir semua pekerjaan, graduan perlu celik komputer untuk membolehkan mereka membina kerjaya masing-masing.

Malah, katanya, kemahiran komputer diperlukan sebelum mereka mendapat pekerjaan, kerana mereka perlu menyelidiki peluang pekerjaan dan menulis resume.

“Sungguhpun ramai pelajar berasal daripada keluarga kurang bernasib baik, kami percaya pendidikan boleh memberi peluang kepada mereka untuk membina masa depan yang lebih cerah.

“Menerusi Sudut IT F&N, kami berharap memperkasakan belia dengan kemahiran komputer yang penting untuk melengkapkan mereka dan membolehkan mereka mencapai kejayaan akademik dan profesional,” katanya pada majlis tamat kursus ICDL kelima bagi 48 graduan baru.

Bagi menjayakan kursus kali ini, F&NHB melabur lebih RM250,000 dalam empat Sudut IT F&N di Montfort Town untuk melengkapkan pusat itu dengan peralatan komputer, mesin cetak, projektor, capaian Internet dan juga pembiayaan untuk menjalankan program ICDL.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 12:12 PM