MIMI Ernida kurangkan makan nasi, banyak sayur.
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Kali pertama bertemu Mimi Ernida, 26, lima bulan lalu tubuhnya masih gempal. Namun pada sesi fotografi dengannya di Balai Berita baru-baru ini, dia kelihatan langsing dan wajahnya yang bulat sudah runcing.

Perubahan tubuhnya itu bukan kerana patah hati, tetapi sebagai artis selain bakat dia perlu jaga penampilan agar sentiasa tampil cantik. Jika sebelum ini berat badannya 52 kilogram, dia berjaya mengurangkan tiga kilogram dan menyasarkan empat kilogram lagi.

“Saya suka makan dan jika tak dapat makan perasaan saya jadi tak menentu. Jadi asal saja saya dapat makan, saya tak kisah berat badan naik. Tetapi selepas ramai menegur dan sukar dapatkan tajaan baju, saya nekad kuruskan badan.

“Saya kurangkan makan terutama nasi. Bukan senang kerana nasi adalah menu wajib saya setiap hari. Pada minggu pertama dan kedua, memang perit, tetapi orang kata ‘alah bisa tegal biasa’.

“Sekarang saya sudah biasa tidak makan nasi dan banyakkan makan sayur. Kalau teringin sangat nak makan, pada hujung minggu barulah saya makan itu pun dalam kuantiti sedikit.

“Sebelum ini, saya pernah cuba turunkan berat badan, tetapi apabila capai sasaran saya makan seperti biasa semula. Sekarang saya terus berdiet untuk pastikan berat badan tidak melebihi 45 kilogram dan akan mempertahankannya,” kata Mimi.

Ujar Mimi atau nama sebenarnya Nurshamimi Ernida Mansor, penyebab lain yang membuatkannya bersungguh mengurangkan berat badan kerana bakal menjayakan filem Surf The Love terbitan Global Solution Resources yang akan memulakan penggambaran di Pulau Tioman dan Bali pada 20 April ini.

Turut berlakon dalam filem itu Cristina Suzanne, Ruhainies, Beto Khusyari, Pekin dan Farid Kamil.

Menurut Mimi, dia memegang watak Laila dan penerbit filem itu, Amie Zhu bertanggungjawab mengubah penampilannya nanti.

“Ini filem kedua saya selepas Polis Evo. Walaupun hanya watak pembantu, saya perlu menonjol dengan gaya terbaru agar ada kelainan daripada lakonan terdahulu. Saya juga gembira kerana dapat berlakon dengan nama besar dalam filem ini.

“Saya ada babak dengan Farid Kamil kerana melakonkan watak isteri keduanya dan penonton akan faham kenapa saya disayangi suami. Pun begitu tiada watak isteri pertama dan penonton hanya tahu saya bermadu menerusi dialog yang diucapkan,” katanya.

Mimi juga tidak sabar menjalani penggambaran filem itu kerana berkongsi lensa kamera dengan Pekin, Beto dan Cristina yang menjadi idolanya selama ini.

“Berada bersama mereka seolah-olah di sekolah filem kerana saya boleh belajar bagaimana hayati watak dengan berkesan. Mereka antara pelakon terbaik dalam industri seni kita.

“Kali pertama ke Bali, pasti ia pengalaman yang menarik. Sambil bekerja saya dapat menikmati keindahan pulau romantis ini. Pulau Tioman juga destinasi pelancongan menarik dalam negara yang belum pernah saya jejaki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 11:53 AM