DUA penduduk membawa kepala buaya selepas operasi mencari badan Richard gagal. Gambar kanan, penduduk membelah perut buaya untuk mencari badan mangsa.
Mohd Rizal Andullah
Mohd.rizal@hmetro.com.my

Miri: Selepas operasi mencari sisa tubuh Richard Shutine Tambi, 57, yang dibaham buaya ketika memukat ikan di Sungai Nakat, Kabong pada 27 Mac lalu menemui jalan buntu, penduduk kampung bersepakat menggunakan khidmat pawang buaya untuk memburu reptilia yang menyerang mangsa itu.

Penduduk dengan persetujuan keluarga Richard nekad menggunakan khidmat pawang buaya itu sehari selepas kaki mangsa ditemui pada 5 April, manakala kepalanya ditemui keesokannya.

Selepas tiga hari melakukan ritual untuk memerangkap buaya itu, kelmarin dua buaya bersaiz tiga meter timbul di kawasan sungai di kampung itu, manakala seekor lagi ditemui mati di tebing sungai.

Menantu perempuan kepada mangsa, Rossni Kamis, 43, berkata, buaya berkenaan ditemui kira-kira jam 8 pagi, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.

Menurutnya, apabila ternampak kelibat buaya berkenaan, penduduk kampung terus menangkap buaya berkenaan dan dibawa ke darat untuk diperiksa.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 8:14 AM