Oleh Dang Setia

Ibu dan ayah saya merancang bercerai selepas berkahwin lebih 25 tahun. Mereka mahu berpisah atas alasan tiada lagi persefahaman.

Saya anak bongsu dan berasa malu dengan penceraian mereka di lewat usia. Sebelum ini saya tidak pernah mendengar mereka bergaduh teruk, sebab itu saya tidak sangka mereka mahu bercerai.

Saya dan dua abang tidak pulang ke rumah sejak dua bulan lalu apabila orang tua mengambil keputusan mahu ­bercerai. Kami terkejut dan membawa diri masing-masing. Saya pulang ke kampus sebaik ibu memaklumkan saya yang dia dan ayah tidak lagi tinggal sebumbung.

Saya hanya mampu berdiam dan terus pulang ke asrama sebaik dimaklumkan ibu. Saya tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi terhadap kedua-duanya.

RIA

Seremban, Negeri Sembilan

Dang Setia faham saudari dan abang terkejut dengan perceraian ibu bapa mahu bercerai. Namun jangan terlalu pantas membuat kesimpulan tanpa menilai perasaan kedua-duanya.

Sebaliknya, teliti kesukaran serta keperitan mereka sehingga mengambil jalan berpisah. Mungkin kedua-duanya bijak menyembunyikan masalah hubungan menyebabkan saudari dan adik-beradik lain boleh membesar dengan baik dan menjalani kehidupan seperti keluarga normal lain.

Elak meletakkan emosi sendiri sebagai keutamaan berbanding memahami masalah sebenar ibu ayah. Ibu dan ayah mempunyai hak untuk membuat keputusan kerana itu rumah tangga mereka.

Ada kalanya punca yang memaksa mereka memilih jalan penceraian sungguh mengaibkan sehingga tidak mampu dikongsi dengan anak. Tindakan membawa diri masing-masing mungkin langkah terbaik ketika ini untuk memberi ruang kepada saudari dan abang sebagai anak melapangkan fikiran, begitu juga orang tua.

Sebaik tenang, kembali ke rumah dan berdamping dengan ibu bapa yang memerlukan sokongan. Mana tahu dengan cara berkenaan, ibu dan ayah boleh berbaik semula dan memikirkan untuk kembali bersama demi anak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:05 AM