PEJABAT jualan Rayani Air. FOTO fail NSTP
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menggantung Sijil Pegendali Udara (AOC) syarikat penerbangan Rayani Air selama tiga bulan bermula hari ini.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, jabatan berkenaan sudah mengeluarkan surat penggantungan sementara mengikut Peraturan 87(1) Peraturan Penerbangan Awam 1996 ke atas syarikat berkenaan.

"Justeru, satu penyiasatan bersama syarikat Rayani Air akan diadakan pada 12 Mei ini," katanya pada taklimat bersama media mengenai kenaikan yuran penerbangan di sini hari ini.

Sebelum ini, Rayani Air memaklumkan syarikat itu menggantung operasinya berkuat kuasa Jumaat bagi rancangan penstrukturan semula perkhidmatannya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam dilaporkan berkata, syarikat penerbangan itu tidak boleh menggantung operasinya sendiri kerana operasi penerbangan tertakluk di bawah DCA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 3:13 PM