Keadaan kereta dinaiki mangsa. FOTO ihsan bomba
Muhamad Izzat Nasuruden

Ipoh: Lelaki,28, maut manakala seorang lagi lelaki parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas melanggar pembahagi jalan di Jalan Trolak-Sungkai, dekat Slim River, 9.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Amir Zul Ikram Abdul Rahim meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di beberapa bahagian badan akibat tersepit manakala seorang lagi mangsa yang tercampak keluar dari kereta parah

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Slim River berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.49 pagi sebelum ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa yang maut tersepit dalam kereta terbabit.

Katanya, pihaknya menggunakan alatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi mengeluarkan mangsa tamat pada 10.28 pagi dan mangsa yang parah dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 2:27 PM