SETIAP kurikulum ditawarkan Kolej Vokasional seiring dengan keperluan sektor industri. - Gambar hiasan
PELAJAR perempuan tidak ketinggalan memilih Kolej Vokasional untuk melanjutkan pengajian kerana yakin kemampuan kolej itu menawarkan pelbagai program menarik. - Gambar hiasan
PELBAGAI program ditawarkan kepada pelajar Kolej Vokasional bagi menepati kehendak semasa. - Gambar hiasan
SETIAP kurikulum ditawarkan Kolej Vokasional seiring dengan keperluan sektor industri. - Gambar hiasan
PELAJAR Kolej Vokasional boleh meraih kejayaan dengan kelebihan mempunyai kemahiran diperlukan industri. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Pelbagai penambahbaikan dan transformasi dilakukan Kementerian Pendidikan terhadap aliran vokasional dan teknikal bagi menjadikan aliran itu menjadi pilihan pelajar selain memenuhi kehendak pasaran kerja.

Hasilnya, aliran itu kini menjadi rebutan ramai sehingga permohonan untuk memasuki Kolej Vokasional melebihi tempat yang mampu disediakan.

Ia sekali gus menaikkan martabat aliran itu yang sebelum ini dianggap bertaraf kelas dua dan hanya disertai pelajar lemah akademik.

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan Zalihar Abdul Ghani berkata, penambahbaikan status itu dilakukan sejajar hasrat menjadikan aliran vokasional antara jurusan pilihan ramai.

Menurutnya, ia juga usaha Kementerian Pendidikan memastikan Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional (PTV) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat dijayakan bagi memenuhi kehendak pasaran kerja dan industri.

“Bermula dengan pendidikan yang hanya memberi kemahiran secara tidak formal lebih seabad lalu, sekolah vokasional melalui pelbagai fasa peningkatan status hinggalah pada tahap seperti hari ini.

“Ia satu transformasi yang penuh dengan cabaran dalam usaha menjadikan Kolej Vokasional mampu melahirkan sumber tenaga menepati kapasiti sasaran.

“Ia bukan mudah, namun kami optimis boleh direalisasikan kerana peningkatan status Kolej Vokasional bukti peningkatan kualiti kurikulum yang dibangunkan,” katanya.

Zalihar berkata, transformasi pendidikan vokasional perlu dilakukan bagi menyedia tenaga kerja terlatih berkemahiran.

“Dengan mengikuti bidang kemahiran dan teknikal serta didedahkan dengan latihan amali sejak di bangku sekolah, ia akan membolehkan pelajar mudah menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan.

“Pekerja yang ada kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat diperlukan pihak industri,” katanya.

Apabila transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan, katanya, aliran ini tidak lagi dianggap pendidikan kelas dua, sekali gus membuang persepsi kononnya Kolej Vokasional tempat untuk pelajar yang tidak berminat dalam akademik.

“Dulu pelajar aliran vokasional dan teknik kurang peluang ke menara gading berbanding rakan mereka daripada aliran akademik yang memasuki kelas matrikulasi atau tingkatan enam selepas Sijil Pelajaran Malaysia.

“Transformasi ini menjanjikan kelulusan hingga ke peringkat diploma secara jalan pintas melalui pengwujudan Kolej Vokasional selepas tingkatan tiga.

“Lebih menarik, pelajar mula didedahkan asas mata pelajaran vokasional dan boleh memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun, iaitu ketika berada di tingkatan satu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, walaupun Kolej Vokasional mula dijadikan perintis untuk memenuhi keperluan industri, masih ada cabaran perlu dihadapi.

“Ada beberapa usaha lagi perlu dilakukan bagi menjamin standard Kolej Vokasional setanding dengan institusi lain.

“Antaranya, memastikan kurikulum seiring keperluan industri dan bersifat dinamik serta melengkapkan kemudahan sedia ada.

“Bagaimanapun, cabaran terbesar ialah memastikan pelajar Kolej Vokasional bukan saja ada kelayakan tapi turut memiliki minat serta kecenderungan pada bidang berbentuk ‘hands on’,” katanya.

Zalihar berkata, peningkatan taraf daripada sekolah kepada kolej juga menyaksikan peralihan kecenderungan masyarakat terhadap kepentingan aliran pembelajaran bercorak pekerjaan (vokasional).

Menurutnya, sejak Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) dilancarkan pada tahun 2012, ramai ibu bapa melihat kelebihan Kolej Vokasional.

“Dulu ramai beranggapan Kolej Vokasional hanya untuk pelajar kelas kedua tapi kini tidak lagi kerana ia juga menjadi pilihan pelajar yang mencapai akademik cemerlang.

“Buktinya, permohonan memasuki kolej ini cukup menggalakkan setiap tahun sehingga melebihi kapasiti disediakan kementerian.

“Misalnya pada tahun 2013, permohonan diterima sebanyak 87,472 orang berbanding kapasiti hanya 16,370 orang. Ini menunjukkan masyarakat sudah mula yakin kelebihan aliran vokasional, sekali gus menyingkirkan pelbagai persepsi negatif sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyangkal masih ada tanggapan negatif dilemparkan terutama membandingkan vokasional dengan aliran teknik dan akademik.

“Kami mengguna pakai Kurikulum Standard Kolej Vokasional yang terdiri daripada komponen akademik dan vokasional dengan nisbah 30:70 pada peringkat pradiploma.

“Bagi peringkat diploma pula, komponen akademik dan vokasional pada nisbah 20:80 yang turut merangkumi modul insaniah, penguasaan bahasa antarabangsa dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, kementerian melakukan pelbagai perancangan untuk memastikan Kolej Vokasional mampu melahirkan graduan diploma berkualiti dan mempunyai kebolehpasaran, kebolehkerjaan dan kebolehgajian.

“Ini sejajar hasrat melahirkan graduan Kolej Vokasinal berprestasi dan berakhlak tinggi menerusi sistem pendidikan dan latihan kemahiran komprehensif dan holistik. Juga berusaha memastikan pensijilan diiktiraf pelbagai pihak industri selain pengiktirafan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia ( MQA).

“Sasaran program Kolej Vokasional ialah 70 peratus graduan bekerja di industri, 20 peratus melanjutkan pelajaran dan latihan lanjutan manakala 10 peratus lagi menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

Bagi mencapai sasaran itu, Zalihar berkata, beberapa langkah awal sudah dilaksanakan melalui hubungan rapat dengan industri termasuk pelaksanaan on job traning (OJT) pada tahun pengajian.

“Kolej Vokasional juga menjalin kerjasama dengan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan Program Jelajah Industri yang antaranya bertujuan mengukuh program sepenuh masa dan perintis di Kolej Vokasional dengan kerjasama swasta dan industri.

“Semua ini perancangan dan penambahbaikan jangka panjang untuk memastikan Kolej Vokasional setanding dengan institusi lain dan paling penting mampu memenuhi piawaian sumber manusia seperti dikehendaki industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 11:23 AM