MAHMUD (kiri) memperkatakan sesuatu mengenai buku berbahasa Inggeris kepada guru dan pelajar selepas majlis penyerahan ‘Books For Asia’.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my


Membaca jambatan ilmu. Klausa ini sudah sinonim dalam masyarakat kita, malah dijadikan asas kukuh dalam institusi pendidikan bagi melahirkan generasi berilmu, seterusnya merencanakan kerjaya lebih cemerlang selepas tamat pengajian.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk memupuk sifat suka membaca dalam kalangan generasi muda melainkan mereka tergolong dalam kategori ulat buku, apatah lagi bahan bacaan itu dalam bahasa Inggeris.

Justeru, pelbagai inisiatif diambil bagi merapatkan jurang pelajar yang mahir berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan mereka yang sedang berusaha menguasai bahasa itu.

Tidak terkecuali Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) Universiti Malaya (UM) yang sejak dua tahun lalu dipertanggungjawabkan me­ngurus dan melaksanakan program ‘Books of Asia’ ke seluruh negara, sekali gus berperanan mengagihkan jutaan buku berbahasa Inggeris kepada pihak berkeperluan termasuk sekolah rendah dan menengah.

Pengurus Besar Yayasan Pahang (YP) Datuk Mahmud Mohd Nawawi berkata, menerusi program itu, sekolah terpilih menerima sejumlah buku sebagai nilai tambah bahan bacaan sedia ada.

Katanya, pihak sekolah sewajarnya menggunakan buku itu secara optimum untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

“Buku ini adalah bahan bacaan tambahan berkualiti dan digunakan sebagai rujukan pelajar dan tenaga pengajar, bukan sekadar memenuhi rak buku di Pusat Sumber Sekolah (PSS).

“Guru boleh mengadakan program susulan seperti ‘book review’, pertandingan membaca dan bercerita yang boleh meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan ‘Books For Asia’ oleh Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, UM, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif INPUMA Prof Madya Dr Khadijah Md Khalid dan wakil The Asia Foundation-Malaysia (TAF) Herizal Hazri.

Mahmud berkata, sebanyak 3,000 naskhah buku bahasa Inggeris dalam pelbagai bidang ilmiah seperti kewangan, geografi, penyelidikan, sastera, bahasa serta buku cerita dan novel diserahkan kepada YP sebelum diagihkan kepada 10 sekolah rendah dan 18 sekolah menengah di Pahang.

Katanya, Bentong terpilih sebagai projek perintis dan akan diperluaskan ke daerah lain pada program agihan seterusnya.

Sementara itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telemong P Malarvili, 37, berkata sumbangan buku ilmiah itu secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar terutama di luar bandar.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP), Bentong, Muhd Hafiz Kamaruzaman, 17, berkata sumbangan buku itu menjadi nilai tambah kepada pelajar dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

“Justeru, dengan adanya tambahan bahan bacaan merangkumi pelbagai genre, sekurang-kurangnya ia dapat menambah minat pelajar untuk meningkatkan penguasaan dalam bahasa ini,” katanya yang juga Presiden PSS sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 11:14 AM