KONTINJEN MPPL TLDM gembira bergambar bersama piala dimenangi.

Lumut: Kontinjen Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (MPPLTLDM) merangkul 16 emas, 7 perak dan 13 gangsa bagi mengumpul 104 mata untuk muncul juara keseluruhan Kejohanan Mini Olimpik (KMO) TLDM Ke-24, baru-baru ini.

MPPLTLDM mengatasi pencabar terdekat Markas Pemerintahan Armada (MPA) yang menduduki tempat kedua diikuti Markas Pemerintahan Bantuan (MPB) ketiga.

Ketua Kontinjen MPPLTLDM Kapten Yusman Ostadi berkata, pasukannya teruja dengan kejayaan yang disifatkan sebagai berjaya mengubati kekecewaan dua tahun lalu.

Menurutnya, kejayaan kali ini didorong latihan intensif tiga bulan bersama pasukan universiti dan agensi kerajaan sekitar Lumut.

“Sebagai pusat latihan ia memberi kelebihan kepada kami kerana aspek pemakanan dan waktu tidur menjadi disiplin harian utama yang membantu meningkatkan stamina dan prestasi atlet selain semangat berpasukan serta sokongan padu Panglima MPPLTLDM Laksamana Muda Datuk Mior Rosdi Mior Mohd Jaafar,” katanya.

MPPLTLDM memenangi emas dalam acara tinju, perahu layar, tenis, sepak takraw, kayak dan taekwondo.

“Pasukan wanita menyumbang lima emas membolehkan kami bergelar juara dan saya berpuas hati dengan janji atlet memberikan persembahan terbaik dalam semua acara,” katanya pada Majlis Penutup KMO TLDM ke-24 di Stadium Pangkalan TLDM, Lumut.

Pada kejohanan itu, Laskar Kelas (LK) II V Royson dinobatkan Olahragawan manakala Olahragawati milik LK II Salesnella Gabi. Kedua-duanya mewakili kontinjen MPPLTLDM.

Kontinjen MPA memenangi kategori lelaki terbaik manakala MPPLTLDM wanita terbaik.

Kejohanan tujuh hari itu disertai 2,300 atlet yang mewakili tiga markas formasi TLDM dengan 38 acara dipertandingkan antaranya olahraga, badminton, bola sepak, memanah, hoki, kriket dan polo air di Kompleks Sukan sekitar Pangkalan TLDM, Lumut.

Majlis penutup disempurnakan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:08 AM