IHSAN Bomba dan Penyelamat
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kanak-kanak lelaki lapan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat dekat surau di Jalan Kaloi 16, Pasir Gudang di sini, hari ini.

Hafiz Rozi, dikatakan sedang bermain dalam hujan lebat bersama abang dan dua jirannya sebelum tiba-tiba tergelincir dan jatuh ke longkang, pada 2.30 petang.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Sharol Suboh, menjelaskan pihaknya menerima panggilan kecemasan, pada 2.56 petang.

Katanya, dua jentera dengan kekuatan enam anggota ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira sembilan minit kemudian sebelum memulakan operasi SAR di kawasan kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

"Kita percaya arus kuat akibat hujan lebat menyebabkan mangsa dihanyutkan sehingga ke sungai yang bersambung dengan longkang kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata, operasi ditangguhkan, kira-kira 7 malam tadi, dan akan disambung semula pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 9:07 PM