Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Pembantu rumah warga Indonesia ditahan disyaki melarikan barangan kemas dan wang milik majikannya, di Taman Sri Muda Shah Alam, Selangor.

Wanita berusia 30-an itu ditahan di Bukit Baru, di sini, pada 12.30 tengah hari, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata semasa kejadian majikan suspek yang juga doktor berusia 40-an tiada di rumah.

Katanya, majikannya mendapati pintu hadapan rumah tidak berkunci selain suspek juga hilang apabila dia pulang, pada 9.30 malam.

“Majikan yang curiga kemudian memeriksa rumahnya sebelum mendapati barang kemas serta RM43,700 sudah tiada.

“Turut ditemui bersama suspek ketika ditahan pelbagai barangan kemas, RM2,000 tunai dan IDR2 juta (RM597.60) serta beberapa resit belian barangan kemas bernilai RM9,000," katanya.

Katanya, suspek kini direman empat hari sehingga 12 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 6:38 PM