THAKSIN
Agensi

Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mengarahkan anggota parti politik Pheu Thai bersedia untuk berkempen kerana dia percaya pilihan raya umum negara itu akan berlangsung tahun depan.

Thaksin menyampaikan amanat itu melalui perkhidmatan sidang video Skype dalam satu majlis yang dihadiri bekas Ahli Parlimen Pheu Thai, eksekutif dan ahli di ibu pejabat parti itu.

Bekas pemimpin itu melarikan diri ke luar negara bagi mengelak dikenakan dakwaan jenayah selepas pemerintahannya ditumbangkan tentera pada 2006.

Seorang pemimpin Pheu Thai, Surapong Tovichakchaikul berkata, Thaksin mahu bekas ahli Parlimen parti itu bersedia kembali ke kawasan masing-masing untuk bertemu pengundi menjelang pilihan raya umum nanti.

“Thaksin berkata, dia yakin pilihan raya umum akan diadakan tahun depan seperti yang dijanjikan kerajaan sebelum ini.

“Thaksin juga memberi semangat kepada ahli Pheu Thai supaya bersedia menghadapi pilihan raya,” katanya.

Satu sumber parti memberitahu, sebilangan bekas ahli Parlimen Pheu Thai menjangka pilihan raya itu akan berkeputusan dengan penubuhan kerajaan campuran.

Mereka juga meramalkan kerajaan campuran itu hanya boleh bertahan satu atau dua tahun.

“Walaupun, kerajaan campuran dijangka tidak bertahan lama, tetapi kami berharap ia mencuba bersungguh-sungguh menghalang tentera dari politik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 8:00 AM