BANYAK pihak mula buka mata terhadap bakatnya.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Ketika mula bertapak dalam industri hiburan tanah air, pengacara jelita ini terpaksa bermula dari bawah. Namun selepas terpilih menyertai program realiti Projek Metro 2013, barulah Fiza atau nama sebenarnya, Nur Hafizah Md Saad, 28, mendapat pendedahan mengenai dunia pengacaraan.

Program itu memberi sinar buatnya untuk menggapai impian bergelar pengacara.

Berbekalkan pengalaman itu juga dia kini mengorak langkah apatah lagi banyak pihak mula buka mata terhadap bakatnya. Perkembangan positif itu secara tidak langsung membuatkan dia semakin yakin dengan pilihannya.

“Saya bukan seperti pendatang baru lain yang ada pendidikan formal pengajian komunikasi massa. Saya menceburi bidang ini kerana minat namun ada terselit kerisauan di hati.

“Bagaimanapun, tawaran menjadi penyampai radio stesen IM4U benar-benar mengubah hidup saya. Bukan itu sahaja, tawaran hadir bersilih ganti dan ia membuatkan saya yakin dengan bakat saya,” katanya.

Lebih setahun bersama IM4U, Fiza buka langkah baru dengan menyertai CJ Wow Shop.

Dilamar sebagai pengacara, Fiza teruja kerana format program terbabit sangat menarik. Apatah lagi pengacara lain tidak lokek berkongsi ilmu supaya dia tidak kekok setiap kali beraksi depan kamera.

“Terus terang, tertarik dengan tawaran ini dan tidak berfikir lama untuk menyatakan persetujuan. Walaupun tugasan ini mencabar, saya gembira melakukannya.

“Berbanding pengacaraan biasa, menerusi program ini kami perlu menguasai teknik memujuk. Maklumlah matlamat program ini adalah menarik penonton untuk membeli barang.

“Saya kena pastikan segala maklumat yang disampaikan tepat dan penyampaiannya mesti berkesan,” katanya.

Tidak hanya fokus mengacara, Fiza turut berkongsi berita gembira ada pihak menawarkannya merakamkan lagu.

“Saya pencinta muzik. Namun, tidak sangka pula ada yang sampai menawarkan saya menyanyi.

“Bagaimanapun, saya kena pastikan diri benar-benar bersedia terlebih dahulu. Biar yakin dulu baru saya akan serius menyanyi.

“Lakonan pula, setakat ini belum teringin. Saya mahu tumpukan perhatian terhadap pengacaraan kerana itu cita-cita saya sejak dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 5:00 AM