Anggota bomba menyelamatkan bayi perempuan berusia 14 bulan yang terperangkap dalam kereta. FOTO Asrizal Alias
Asrizal Aris

Kampar : Wanita cemas selepas anak perempuannya berusia 14 bulan terperangkap di dalam kereta selama lebih 30 minit di kediaman mereka di Persiaran Jaya 3, Taman Temoh Jaya, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi, ibu kepada bayi itu sedang menjemur pakaian di luar rumah selepas memanaskan enjin kereta untuk mengambil anak keduanya di pusat latihan kemahiran berdekatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar Yamin Naib berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.39 pagi lalu selepas ke tempat kejadian dan mendapati bayi itu terperangkap di dalam kereta.

"Berdasarkan keterangan ibu mangsa, ketika dia menjemur pakaian, anaknya tiba-tiba berjalan masuk ke dalam kereta melalui pintu sebelah pemandu yang dibiarkan terbuka lalu menutup dan menguncinya.

"Anggota bomba terpaksa mengumpil pintu hadapan sebelah pemandu untuk menarik pin keselamatan pintu berkenaan dengan menggunakan sebatang pemutar skru tanpa merosakkan atau memecahkan cermin pintu kereta berkenaan," katanya.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan menangis dan berpeluh akibat kepanasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 8:03 PM