Kakitangan jabatan imigresen (kiri) dan teman lelakinya (kanan) di Mahkamah Majistret Sepang untuk disambung tahanan reman mereka hari ini. - Foto SITI A'ISYAH SUKAIMI
Oleh Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Sepang: Reman kakitangan jabatan imigresen dan teman lelakinya disambung enam hari bermula esok bagi bantu siasatan berhubung kematian bayi perempuan 19 bulan di Putra Perdana Sepang.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Sepang Alpha Anak Dragam.

Suspek lelaki berusia 22 tahun, diwakili peguam Kee Wei Lon manakala suspek wanita berusia 27 tahun, tidak diwakili peguam.

Kira-kira jam 12 tengah hari 31 Mac lalu, Hannah Sufiyah Muhammad Adib dihempas selepas bayi itu dikatakan menangis kerana mahu mengikut ibunya ke tempat kerja.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia klinik di Putra Perdana ketika rawatan.

Laporan bedah siasat mendapati sebab utama kematian mangsa adalah pendarahan di kepala dan perut.

Suspek lelaki yang berasal dari Marang, Terengganu, ditahan di Hospital Serdang, selepas bedah siasat manakala ibu bayi terbabit ditahan di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Buloh, Selangor, kira-kira 8 malam ketika membawa jenazah bayi itu untuk dikebumikan di kampungnya di Alor Setar, Kedah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 6:26 PM