KEBANYAKANNYA dijadikan haiwan peliharaan.
PRAPESANAN untuk spesies kura-kura.
BERUK ini diberi minuman sesuai dan dijaga rapi pemiliknya.
BURUNG antara yang dijual dalam kumpulan Facebook.
PEMBELI memuat turun gambar musang yang dikatakan jinak.
TAWARAN untuk dua burung hantu.
Hartini Mohd Nawi dan Siti Salmiah A Hamid
rencana@hmetro.com.my


Facebook kini menjadi medan perdagangan hidupan liar segelintir rakyat Malaysia yang mendorong kepada peningkatan perdagangan haram haiwan ikonik dan terancam.

Demikian menurut laporan terbaru TRAFFIC hasil pemantauan hanya setengah jam setiap hari bagi tempoh lima bulan yang dijalankan penyelidiknya terhadap 14 kumpulan Facebook di Semenanjung Malaysia

TRAFFIC ialah rangkaian badan pemantau perdagangan haram hidupan liar di seluruh dunia.

Hasil pemantauan itu mendapati lebih 300 haiwan liar hidup ditawarkan untuk dijual sebagai haiwan peliharaan. Antaranya, beruang madu (Helarctos malayanus), ungka, memerang, malah binturong (Arctictis binturong).

Perdagangan yang belum pernah didokumentasikan sebelum ini adalah sesuatu yang tidak dijangka kerana Semenanjung Malaysia tidak mempunyai pasaran terbuka bagi hidupan liar seperti negara lain di Asia Tenggara.

“Pasaran maya yang rancak memperdagangkan hidupan liar sebagai haiwan peliharaan muncul hasil peningkatan media sosial. Ini fenomena baru bagi Malaysia,” kata Pengurus Program TRAFFIC Asia Tenggara Kanitha Krishnasamy yang juga pengarang bengarang bersama laporan terbaru itu, Trading Faces: A Rapid Assessment on the use of Facebook to Trade Wildlife in Peninsular Malaysia.

Paling mengejutkan, tahap perdagangan domestik bagi haiwan hidup mendapati lebih 60 peratus daripada 80 spesies yang direkodkan ketika pemantauan dijalankan ialah haiwan berasal dari Malaysia.

Ini menunjukkan wujudnya permintaan terhadap hidupan liar sebagai haiwan peliharaan. Hampir separuh daripada spesies yang direkodkan terdiri daripada haiwan dilindungi daripada kegiatan perburuan atau perdagangan dan haram untuk dijual mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Dua puluh lima daripada 69 spesies bukan asal dari Malaysia yang ditawarkan untuk dijual ialah burung kakaktua jambul kuning (Cacatua sulphurea) dari Indonesia dan kura-Kura Ploughshare (Astrochelys yniphora) dari Madagascar yang dilindungi Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) yang mengehad atau melarang perdagangan spesies itu di peringkat antarabangsa.

Kebanyakan daripada 14 kumpulan Facebook berkenaan adalah ‘kumpulan tertutup’ dan seseorang perlu menjadi ahli untuk memerhati dan berdagang secara dalam talian.

Sewaktu pemantauan dilaksanakan, kumpulan berkenaan mempunyai hampir 68,000 ahli aktif, manakala 106 penjual yang dikenal pasti sebagai pengguna unik yang tidak menyembunyikan kegiatan haram mereka.

TRAFFIC berkongsi hasil kajian itu dengan Facebook yang memberi respons positif. Pemilik laman sosial itu kini bekerjasama dengan TRAFFIC untuk mengenal pasti cara penyelesaian praktikal bagi mencegah penyalahgunaan wadah mereka di dalam mahupun luar Malaysia.

“Kami komited untuk bekerjasama dengan TRAFFIC bagi membantu mengatasi perdagangan haram hidupan liar dalam talian di Malaysia. Facebook tidak membenarkan penjualan dan perdagangan haiwan terancam dan kami tidak teragak-agak menarik keluar sebarang kandungan yang menyalahi syarat perkhidmatan kami,” kata jurucakap Facebook.

Hasil kajian juga dikongsi dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang melancarkan beberapa operasi terhadap pedagang hidupan liar yang menggunakan rangkaian media sosial.

“Kami menyedari masalah ini kerana PERHILITAN memantau lebih 30 kumpulan Facebook menjual hidupan liar sejak tahun 2013. Kami juga mengambil langkah menangani masalah ini termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang lain untuk membanteras perdagangan haram hidupan liar di Facebook.

“Kami berjaya melakukan 43 rampasan, menahan sekurang-kurangnya 54 peniaga haram dan menyelamatkan lebih 67 spesies hidupan liar daripada diniagakan secara haram di Facebook,” kata Pengarah Penguatkuasaan PERHILITAN Hasnan Yusop.

“Kami juga ingin memberi amaran keras jika ada yang ditangkap kerana melanggar undang-undang, mereka akan menghadapi hukuman keras,” katanya.

“Kami belum dapat mengetahui sepenuhnya sejauh mana ancaman dalam talian terhadap hidupan liar, tetapi perbincangan awal bersama Facebook dan kejayaan awal penguatkuasaan yang dijalankan PERHILITAN sangat menggalakkan.

“Begitupun, tindakan lanjutan penting bagi mengawal peningkatan perdagangan haram ini,” kata Kanitha.

Antara syor dalam laporan itu ialah pembentukan kerjasama lebih erat antara agensi penguatkuasaan dan Facebook bagi membolehkan tindakan lebih berkesan terhadap pesalah, dan permintaan agar media sosial meningkatkan kesedaran terhadap isu itu serta mengecam sebarang bentuk aktiviti haram.

Laporan itu juga mengesyorkan pembentukan forum khusus di peringkat wilayah serta global bagi kerajaan, rangkaian badan sosial dan rakan NGO bagi mencari penyelesaian realistik terhadap masalah ini.

“Meskipun hasil kajian ini mengenai perdagangan haram hidupan liar di Malaysia, kami percaya ia sebenarnya mencerminkan masalah sejagat,” kata Penganalisis Data Jenayah Kanan TRAFFIC di Asia Tenggara Sarah Stoner,

“Keupayaan media sosial menghubungkan pedagang haram dengan pembeli berpotensi secara cepat, murah dan tanpa dikenali sangat membimbangkan bagi hidupan liar terancam dan agensi penguatkuasaan.

“Ini memerlukan kerjasama bersepadu di peringkat global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 12:20 PM