HAZIQ (kanan) diasak pemain Jepun Hirotaka Zendana pada aksi Piala Sultan Azlan Shah ke 25 di Stadium Azlan Shah, semalam.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Ipoh: Skuad negara terpaksa mengharungi lima minit terakhir penuh mendebarkan sebelum menewaskan Jepun 4-3 pada perlawanan kedua kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah bagi mengungguli tangga teratas.

Bagi ketua jurulatih skuad negara Stephen Van Huizen, beliau berpuas hati dengan hampir keseluruhan prestasi skuad negara kecuali lima minit terakhir penghujung perlawanan.

“Kami bermula baik apabila mempamerkan corak permainan pantas tapi Jepun juga menampilkan rentak sama apabila menyamakan kedudukan.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan corak permainan kita kecuali lima minit terakhir apabila Jepun meraih dua gol dan hampir menyamakan kedudukan.

“Apapun, ia pengajaran berguna untuk pemain supaya tidak leka sepanjang perlawanan terutama pada penghujung aksi,” katanya.

Lima minit pertama berlangsung rancak dengan skuad negara di depan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan kapten Razie Rahim.

Tetapi, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Jepun menyamakan kedudukan hasil set piece ketua pasukan Hiroki Sakamoto seminit kemudian.

Razie kembali meletakkan Speedy Tigers di depan selepas bijak menolak masuk rendah ke penjuru kanan gawang lawan menerusi gerakan pukulan sudut penalti pada minit ke-11.

Penyerang negara Haziq Samsul menambah gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti selepas menyempurnakan tolakan Razie minit ke-14.

Suku ketiga menyaksikan skuad negara mengukuhkan kedudukan dengan gol keempat pada minit ke-32 untuk kedudukan 4-1 selepas pengadil perlawanan menghadiahkan penalti stroke yang disempurnakan pemain tengah Fitri Saari.

Shota Yamada bagaimanapun merapatkan jurang dengan menjaringkan gol kedua Jepun menerusi pukulan sudut penalti minit ke-54 sebelum menambah satu lagi pada minit ke-60.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 8:36 AM