NIK Azwan (tengah) bersama trofi dimenangi.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad negara Syed Hussaini Syed Mazlan mengakui pencapaian Malaysia di Tour of Thailand (TOT) 2016 berakhir kelmarin, sesuatu yang mengejutkan.

Malaysia muncul pasukan ketiga terbaik dalam kalangan 20 pasukan bertanding selain pasukan terbaik ASEAN dengan mengatasi tuan rumah Thailand, Vietnam dan Myanmar.

Lebih istimewa pencapaian membawa pulang jersi pelumba terbaik ASEAN menerusi Nik Azwan Zulkifle yang meraihnya pada peringkat keenam perlumbaan.

“Saya boleh rumuskan pencapaian ini sesuatu yang mengejutkan kerana kami tidak mempunyai kem lati
han pusat. Saya hanya memberikan program latihan kepada beberapa pelumba untuk melaksanakannya.

“Ini kejayaan besar buat skuad negara. Saya berharap kejayaan ini mampu membuka mata ramai pihak untuk tampil menghulurkan bantuan,” kata jurulatih dari Terengganu itu.

Katanya, resipi pencapaian pada kejohanan berstatus 2.2 di Jelajah Asia itu adalah gandingan pelumba berpengalaman dan baru selain kerjasama dengan pelumba pasukan benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG).

Lebih menggembirakan, TOT 2016 melahirkan permata baru acara lebuh raya apabila Aiman Zarif mencuri tumpuan pasukan bertanding.

Pelumba berusia 19 tahun itu menyarung jersi pelumba terbaik ASEAN sejak peringkat pertama sehingga kelima walaupun gagal mempertahankannya pada peringkat terakhir selepas hanya ketinggalan sembilan saat kepada rakan sepasukan, Azwan.

“Saya amat berbangga dengan prestasi Aiman di TOT. Ramai pasukan memujinya kerana kayuhan yang dipamerkannya. Masa depannya cerah,” katanya.

TSG turut cemerlang di Thailand apabila meraih dua peringkat kemenangan menerusi Harrif Saleh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 8:27 AM