TENTERA Iraq dan militan Syiah mara untuk menawan bandar Heet di Ramadi, barat Iraq, baru-baru ini.
Agensi

Baghdad: Sebuah kumpulan militan Syiah Iraq berkata, ia akan menyertai tentera kerajaan melancarkan serangan terhadap Daish bagi menawan semula Mosul walaupun mendapat bantahan tokoh politik yang bimbang ia akan mencetushan pertumpahan darah di bandar itu yang majoriti penduduknya berfahaman Sunni.

Jawad al-Talabawi dari kumpulan Asaib Ahl al-Haq berkata, pihaknya tidak yakin tentera kerajaan dapat menawan semula Mosul tanpa bantuan militan Syiah.

Dia berkata, pakatan militan Syiah yang digelar Pasukan Gerakan Popular (PMF) mahukan serangan dan penawanan semula Mosul dilakukan segera.

“Kami yakin pertempuran menawan semula Mosul adalah besar dan kompleks. Ia memerlukan peperangan secara gerila di beberapa kawasan dan kami amat mahir dengan cara itu,” kata Jawad.

Speaker Parlimen Iraq, Salim al-Jabouri sebelum ini merayu supaya PMF tidak campur tangan di Mosul.

Salim, pegawai Sunni paling kanan di negara yang dikuasai Syiah itu berkata, kekejaman militan Syiah sudah terbukti apabila mereka memusnahkan kediaman dan masjid Sunni, membunuh dan mengusir penduduk kampung apabila menyertai tentera kerajaan menawan semula Ramadi.

Bagi mengelak kejadian berulang, dia berkata, kempen menawan semula Mosul perlu dilakukan tanpa militan Syiah.

Bagaimanapun, menurutnya, usaha itu boleh dilakukan dengan dibantu militia Sunni yang menentang Daish.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 6:42 AM