Kuala Lumpur: Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyelar usaha pihak tertentu memutar belit fakta berhubung keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 kononnya bagi menutup hak kebebasan rakyat untuk bersuara.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu meminta rakyat memahami dengan jelas bahawa keputusan itu dibuat demi menjaga kestabilan dan keharmonian negara.

“Kita jangan (tunggu) sampai nasi menjadi bubur, kita mesti mencegah, ini satu-satunya akta yang akan terus menjaga dan menyelamatkan negara kita, ia bukan ditujukan kepada sesiapa.

“Akta ini terpakai kepada semua orang, kita bukan katakan akta ini khas untuk pembangkang, waima orang UMNO dan menteri sekalipun, termasuk dalam akta tersebut ... bagi saya keselamatan dalam negara, menjaga keamanan negara, tidak boleh dikompromi,” katanya di luar Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini.

Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan penambahbaikan untuk kepentingan keharmonian negara.

Najib yang juga presiden UMNO membuat pengumuman itu semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden ketika merasmikan perhimpunan agung parti itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari meminta pihak yang berkenaan supaya menghentikan perbuatan memutar belit isu itu kerana ia akan hanya mengelirukan rakyat.

“Orang yang putar belit itu orang yang tidak bertanggungjawab, pada saya apa yang diluahkan oleh Perdana Menteri sememangnya wajar.

“Hentikan putar belit yang tidak berasas, sebelum ini kita sememangnya tahu ada sesetengah pihak mahu Akta Hasutan ini dihapuskan, tetapi kita kena lihat bahawa Malaysia memang memerlukan akta ini,” katanya di sini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 4:20 PM