KUALA LUMPUR: Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diarus perdanakan dan bukan lagi sebagai aliran alternatif melahirkan modal insan semi profesional dalam bidang diperlukan negara.

Wakil Umno Terengganu Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 berkata ini kerana graduan TVET mendapat tawaran gaji yang lumayan jika dibandingkan dengan graduan universiti.

“Pasaran pekerjaan kelulusan TVET ini adalah cukup tinggi iaitu 1.5 juta atau 45.5 peratus daripada keperluan keseluruhan guna tenaga. Ini disebabkan keupayaan mereka untuk terus masuk ke alam pekerjaan dengan latihan kerja yang minimal,” katanya.

Dalam membahas usul agama pula beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan Indeks Maqasid Syariah iaitu indeks yang dapat memberi indikator yang jelas tentang pencapaian negara dalam melaksanakan agenda pembangunan Islam di Malaysia.

Maqasid syariah ialah matlamat yang ditentukan oleh syarak untuk dilaksanakan bagi memberi kebaikan kepada hambanya.

Kata Wan Abdul Hakim, dengan adanya indeks ini, pihak kerajaan akan dapat melakukan analisa mengenai pencapaian negara dalam melaksanakan hukum-hukum berlandaskan Islam.

“Dengan ini, kita boleh mengatur langkah yang lebih jitu dan padu agar akhirnya penghayatan Islam dalam kehidupan dapat dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo berkata kerangka maqasid syariah yang ditekankan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak adalah penting untuk mempertahankan agama Islam.

Beliau berkata ia menunjukkan pendirian tegas kerajaan berusaha menjaga kesucian agama Islam supaya tidak dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu yang berniat jahat menggugat keharmonian negara ini.

“Selain wasatiyyah, maqasid syariah suatu yang penting dalam negara ini bagi menjaga agama, akal, nyawa atau diri, harta dan menjaga keluarga,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 1:06 PM