KELUARGA mangsa menunggu di Hospital Port Dickson bagi menuntut mayat. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera di muka apabila kereta yang dipandu terbabas sebelum dirempuh kenderaan lain di Kilometer 27.1, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, berhampiran Sua Betong, di sini, awal pagi tadi.

Sumber polis berkata, kejadian jam 6.45 pagi itu berlaku apabila kereta Proton Iswara dipandu V Bathmanathan, 36, dan rakannya dari arah Seremban ke Port Dickson terbabas sebelum melanggar penghadang jalan.

Katanya, selepas terbabas sebuah kenderaan lain dari arah sama dan dipandu seorang anggota tentera merempuh kereta yang dinaiki kedua dua mangsa.

"Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tersepit sebelum dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Telok Kemang yang tiba 10 minit kemudian.

"Bagaimanapun Bathmanathan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian berikutan parah di kepala serta badan," katanya.

Menurutnya, rakan mangsa yang berusia 27 tahun hanya cedera di muka dan kini menerima rawatan di Hospital Port Dickson, di sini.

"Anggota tentera itu yang berusia 24 tahun pula patah paha kanan dan dua tulang rusuk dan kini menerima rawatan di hospital yang sama," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 1:05 PM