CRUZ berucap di Milwaukee ketika meraikan kemenangannya di Wisconsin, semalam.
Agensi

Milwaukee: Harapan Donald Trump untuk memenangi pilihan raya perwakilan parti Republikan terjejas apabila tumpas teruk kepada Ted Cruz di Wisconsin, semalam.

Keputusan itu meningkatkan persoalan mengenai peluang ahli perniagaan bilionair bermulut celupar itu untuk menjadi calon parti berkenaan dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada November depan.

Sementara itu, Bernie Sanders juga mencatatkan kemenangan dalam pemilihan parti Demokrat di Wisconsin, sekali gus memberi harapan baru kepadanya untuk mencabar Hillary Clinton.

Bagaimanapun, Sanders masih ketinggalan jauh di belakang Clinton dari segi jumlah perwakilan yang akan memilih calon parti itu dalam pilihan raya untuk memilih pengganti Presiden Barack Obama kelak.

Kedua-dua parti kini memberi tumpuan ke New York yang akan menawarkan jumlah perwakilan yang besar kepada pemenang pada 19 April depan.

Trump yang menguasai persaingan dalam Republikan sejak beberapa bulan lalu, tiba-tiba mendapati dirinya tercicir ketika pemilihan bergerak ke negeri di sebelah timur.

Hasil pemilihan di Wisconsin menggambarkan kebimbangan mendalam dalam Republikan mengenai kemungkinan Trump terpilih mewakili parti itu.

Sementara itu, Cruz, senator dari Texas menyifatkan kemenangannya di Wisconsin sebagai ‘titik perubahan’ dalam persaingan itu.

Trump bagaimanapun enggan mengaku kalah. Penyokongnya semalam menuduh Cruz menjadi boneka kepada pemimpin kanan Republikan untuk merampas pencalonan itu daripada bilionair berkenaan.

Sanders pula masih ketinggalan di belakang Hillary dari segi jumlah perwakilan. Sehingga ini, dia masih gagal mempengaruhi perwakilan super - pegawai parti yang boleh menyokong mana-mana calon - menggugurkan kesetiaan kepada bekas setiausaha negara itu.

Sanders dijangka memenangi pemilihan parti Demokrat di Wyoming Sabtu ini. Bagaimanapun, negeri itu menawarkan jumlah perwakilan yang kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 9:05 AM