AZUAN (kiri) membuat hantaran kepada Firhan melepasi pemain New Zealand.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Ipoh: Satu mata berharga diraih skuad hoki negara selepas mempamer aksi terpuji apabila mengikat juara bertahan New Zealand 3-3 pada perlawanan pembuka tirai kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah malam tadi.

Bagi ketua jurulatih skuad negara Stephen Van Huizen, keputusan itu sudah cukup memuaskan meskipun pada satu ketika barisan pemainnya berpeluang meraih tiga mata penuh.

“Dalam situasi bermain dengan juara bertahan dan pasukan yang lebih tinggi ranking berbanding Malaysia, kemenangan satu bonus untuk kami.

“Jadi bagi saya, keputusan seri itu sudah cukup bagus berbanding tewas dan tidak mendapat sebarang mata.

“Saya juga harus memuji tiga pemain yang kurang sihat sebelum ini kerana keadaan semasa memaksa mereka beraksi hampir sepanjang perlawanan,” katanya merujuk kepada Razie Rahim, Firhan Ashari dan Shahril Saabah yang mengalami demam panas sejak beberapa hari lalu.

Malaysia dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-4 tetapi gagal disempurnakan sebelum penjaga gol negara Hafizuddin Othman cemerlang menafikan tolakan Kane Russell menerusi pukulan sudut penalti seminit selepas itu.

Skuad negara akhirnya meraih gol pertama menerusi jaringan padang penyerang negara Firhan Ashari selepas menerima hantaran cantik Meor Muhamad Azuan Hasan minit ke-15.

Nick Wilson bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang selepas melakukan gerakan solo pada minit ke-22.

Minit ke-33 menyaksikan New Zealand berpeluang menambah jaringan, tetapi Hafizuddin berjaya menampan kemas cubaan lawan.

Namun selang seminit kemudian, Wilson mencari ruang untuk menambah gol kedua sekali gus memberi tekanan kepada skuad negara.

Razie selaku kapten melegakan kem negara dengan menjaringkan gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti dengan menolak masuk ke penjuru atas gawang gol lawan pada minit ke-44.

Pakar pukulan sudut penalti negara Shahril Saabah kemudian meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-48 menerusi gerakan sama.

New Zealand kemudian memperoleh enam pukulan sudut penalti berturut-turut sebelum meraih gol penyamaan menerusi Simon Child pada minit ke-55.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:38 AM