Shamsudin Husin

Chukai: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat bot nelayan Vietnam dengan nilai rampasan dianggarkan RM2 juta, kira-kira 95 batu nautika dari Kuala Kemaman, pagi semalam.

Pengarah Maritim APMM Terengganu, Kapten Maritim Zainol Abidin Jusoh berkata, empat tekong dan 24 awak-awak bot warga asing iu yang berusia 16 hingga 50 tahun turut ditahan.

Menurutnya, mereka ditahan selepas kapal ronda APMM Perkasa Timur yang menjalankan rondaan mengesan bot terbabit berada di kawasan perairan negara.

"Berikutan itu, kapal ronda terbabit bertindak menahan bot pertama 3.45 pagi, diikuti bot kedua 4.35 pagi, bot ketiga (5.10 pagi) dan bot keempat pada 6.15 pagi.

"Semua bot, tekong dan awak-awak berkenaan ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara," katanya ketika ditemui di Jeti Pangkalan Maritim Kemaman di Teluk Kalong, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 9:13 PM
Zainol Abidin (tiga dari kiri) ketika memeriksa salah sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan di 95 batu nautika dari Kuala Kemaman. FOTO Shamsudin Husin