ADIBAH bakal melancarkan single duet bersama Anuar Zain.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Tidak pernah kecewa dengan karier nyanyian, Adibah Noor akui terkesan dengan tanggapan segelintir peminat dia sudah bersara.

Adibah berkata, meskipun dilihat lebih aktif sebagai penyampai radio Suria FM, itu tidak bermakna dia tidak lagi menyanyi.

Hakikatnya penyanyi lagu Terlalu Istimewa ini masih ligat menjayakan undangan persembahan makan malam.

“Saya masih menyanyi dan tidak pernah berhenti. Terkejut juga apabila ada yang menyangka saya sudah bersara hanya kerana jarang lihat di kaca TV.

“Tidak muncul di kaca TV bukan bermakna saya tidak lagi minat menyanyi. Ramai yang salah tafsir dan buat macam-macam andaian.

“Terasa hati juga dengan keadaan itu tetapi saya tidak menyalahkan mereka. Ingin saya jelaskan di sini saya masih menyanyi dan tidak akan berhenti,” katanya.

Mengakui keadaan itu mungkin berlaku kerana bertugas di konti radio, Adibah berkata sudah jadi lumrah lagu dendangannya sukar dimainkan di stesen radio lain.

“Sejak menyertai Suria FM, jarang lagu saya diputarkan di stesen radio lain.

“Bagaimanapun, saya tidak kecewa kerana radio RTM masih memainkan lagu nyanyian saya,” katanya yang bakal melancarkan single duet bersama Anuar Zain tidak lama lagi.

Selain single, Adibah turut bercadang tampil dengan album penuh yang memuatkan 10 lagu tahun ini.

“Agak lama juga saya tidak muncul dengan album penuh. Sebelum ini saya hanya tampil dengan single.

“Beberapa single yang dimuatkan dalam album ini sudah dimainkan di radio termasuk Ke Sana Denganmu duet bersama Sam Innuendo dan Bahasa Rindu duet bersama Nizam.

“Jika tiada aral, album ini akan dilancarkan bersama single duet dengan Anuar Zain. Diharap semuanya dapat disiapkan dalam masa yang sudah ditetapkan,” katanya.

Adibah bersiaran di Suria FM bersama Baki Zainal menerusi slot Ceria Pagi Di Suria setiap Isnin hingga Jumaat jam 5 pagi hingga 10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 8:40 AM