Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Pada 2013, penyanyi muda pujaan ramai ini terpaksa membatalkan konsertnya di Asia termasuk Malaysia menyebabkan ramai peminatnya kecewa.

Bagaimanapun, terbaru Selena Gomez, 23, mengesahkan bakal mengadakan konsert sulungnya di negara ini yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 25 Julai depan.

Apa yang pasti, penyanyi lagu Hands To Myself ini tidak sabar mahu menjayakan konsert Gomez’s The Revival Tour berkenaan.

“Saya sudah sedia untuk kembali ke pentas dan berjumpa peminat secara dekat,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.

Oktober tahun lalu, Selena tampil dengan album studio keduanya yang turut memuatkan lagu hit termasuk Good For You dan Same Old Love.

Menerusi album itu, jelas terserlah kematangan dari segi muzik dan pendekatan setiap material lebih kepada halwa telinga pendengar dewasa.

Walaupun Selena belum tergolong antara penyanyi menyengat seperti Adele, Katy Perry, Rihanna dan Taylor Swift, namun auranya cukup luar biasa.

Sepanjang kariernya, dia tidak pernah gagal untuk menarik pengikut yang kebanyakannya terdiri daripada remaja.

Dari sudut itu, Selena mempunyai asas kukuh, sekali gus momentum kerjayanya terjaga.

Dia sendiri mengakui kehadiran album itu begitu bermakna apalagi selama ini dirinya banyak berhadapan isu peribadi.

“Album ini menjadi penanda aras terpenting dalam hidup saya. Sudah tidak sabar rasanya mahu kembali ke pentas dan mempersembahkan lagu baru saya,” katanya.

Penyanyi yang mula menempa nama selepas membintangi drama Wizards of Waverly Place di saluran Disney pada 2007 ini berbakat besar.

Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kemunculan awalnya lebih banyak dihiasi kisah peribadi.

Paling mendapat perhatian semestinya hubungan cinta dengan superstar, Justin Bieber.

Percintaan mereka yang sukar diduga apabila putus beberapa kali dan bertaut semula semakin menjengkelkan peminat.

Selepas mereka mengambil keputusan untuk berpisah, barulah kerjaya muzik Selena mula mengaut perhatian peminat.

Sementara itu, tiket konsert Gomez’s The Revival Tour yang bermula pada harga RM285 mula dijual pada 11 April ini menerusi laman web prworldwidelive.com dan cawangan kedai muzik Rock Corner.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 8:37 AM