Pemain Kedah Carlos Eduardo (tengah) disaingi dua pemain Selangor pada perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi. FOTO BERNAMA
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Selayang: Selangor gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila diikat Kedah 2-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Hasil keputusan seri itu menyaksikan Red Giants sekadar mengutip satu mata dengan kini mengumpul 11 mata sementara skuad Helang Merah dengan sembilan mata.

Aksi kedua-dua pasukan agak seimbang di awal permainan namun skuad kendalian Tan Cheng Hoe terlebih dahulu mengejutkan penyokong tuan rumah apabila pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon mudah menolak masuk buat menewaskan Norazlan Razali di minit ketujuh.

Bagaimanapun anak buah Zainal Abidin Hassan tidak menyerah kalah apabila bangkit meraih dua gol menerusi penyudahan R Gopinathan (m-29) dan Patrick Ronaldinho (m-30).

Kesilapan pertahanan Selangor, Raimi Mohd Nor menjatuhkan Kahe di dalam kotak penalti dan awang import dari Brazil, Sandro Da Silva mudah menyempurkan sepakan penalti m-66 untuk mengikat kembali keputusan 2-2.

Biarpun Selangor cuba bangkit pada baki saingan namun beberapa percubaan mereka gagal menemui sentuhan penyudah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 12:26 AM