Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Bagi yang hadir di Setia City Park, Setia Alam, Selangor, Sabtu lalu, pasti masih terngiang-ngiang kehangatan Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro apabila menampilkan barisan artis hebat tempatan.

Kehangatan itu bukan saja di pentas bahkan juga di belakang pentas. Setiap artis nyata begitu teruja menjadi sebahagian daripada acara gilang-gemilang itu apalagi sambutan penonton memang luar biasa.

Masing-masing seronok apabila melihat sendiri bagaimana setiap kali persembahan mereka di pentas mendapat sorakan hebat.

Bagi penyanyi Ronnie Hussein, ia adalah pengalaman yang berharga buatnya disebabkan sambutan ulang tahun ke-25 Harian Metro itu sendiri besar maknanya.

“Saya seronok apabila dapat berkongsi pentas dengan nama besar baik yang lama, mahupun baru. Bagi saya, ia satu penghormatan apalagi yang dipilih memeriahkan konsert kali ini semuanya ada rekod luar biasa.

“Saya sendiri cukup bersemangat memberikan persembahan di depan puluhan ribu penonton malam ini. Kini, saya tidak sabar pula menjayakan konsert sama yang akan berlangsung di Miri, Sarawak nanti,” katanya.

Begitu juga penyanyi serta pelakon paling popular sekarang iaitu Ayda Jebat apabila tampil dengan persembahan berbeza pada malam itu. Menurutnya, dia sangat teruja mendendangkan lagu Pencuri Hati dengan versi berbeza.

“Saya bukan sekadar menghibur malam itu namun mahu tampilkan sisi lain menerusi lagu berkenaan. Sebab itulah saya mengambil keputusan menggubah susunannya kepada versi dangdut. Syukur, ia menjadi dan saya sendiri sangat seronok di atas pentas melihat penonton bergelek sama,” katanya.

Bukan sekadar mahu menjadikan platform meraih peminat baru, band popular dari Indonesia, Papinka pula mengakui amat gembira dengan reaksi peminat. Di pentas itu sendiri, vokalisnya Chevra begitu seronok melayan peminat.

“Kamu semua memang luar biasa! Kami sangat berbesar hati dapat bertemu penonton di sini dan mempersembahkan lagu baru kami,” katanya.

Demikian juga penyanyi yang begitu meledak selepas menyertai program realiti, Akademi Dangdut di Indonesia, Shiha. Biarpun dengan kesibukan jadual seninya kala ini, dia sanggup meluangkan masa demi acara berkenaan.

“Akhbar Harian Metro sendiri sangat dekat di hati saya dan menjadi antara media yang menyokong kuat sepanjang karier nyanyian selama ini.

“Ia sangat bermakna kerana dapat menjadi sebahagian daripada konsert kali ini. Apalagi, saya dapat berkongsi pentas dengan ramai penghibur hebat, hilang rasanya kepenatan yang dirasai akibat kesibukan agenda seni,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 9:10 AM
SHIHA bangga berkongsi pentas dengan artis hebat.
PAPINKA sifatkan penonton luar biasa.
RONNIE tidak sabar konsert di Miri.
AYDA bergelek sewaktu mendendangkan Pencuri Hati.
SEBAHAGIAN penonton Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro.