PRAYUT
Agensi

Bangkok: Ketua junta Thailand, Prayut Chan-o-cha mengarahkan polis mengkaji sama ada pemberian mangkuk berwarna merah dengan mesej sambutan Songkran daripada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra kepada orang ramai menyalahi undang-undang.

Prayut yang juga perdana menteri meminta polis mengkaji sama ada memberi sokongan kepada pesalah atau penjenayah adalah menyalahi undang-undang.

Pihak berkuasa sebelum ini merampas 8,862 mangkuk itu di rumah bekas ahli Parlimen dari parti Pheu Thai, Sirintorn Ramasut di wilayah Nan.

Mangkuk itu tertera mesej: “Walaupun situasi (politik) ketika ini panas, tetapi diharapkan semoga saudara saudari sekalian dirahmati dengan kesejukan melalui mangkuk ini. Selamat menyambut Songkran,”

Ia turut ditandatangani Thaksin yang digulingkan tentera pada 2006 sebelum melarikan diri ke luar negara pada 2008 bagi mengelak berdepan dakwaan rasuah.

“Kenapa mangkuk merah ini diberi kepada orang ramai? Kenapa tidak mangkuk berwarna kuning atau warna lain? Adakah mangkuk berwarna merah lebih praktikal berbanding warna lain?,” soal Prayut.

Prayut juga mempersoalkan pendirian orang ramai yang berebut-rebut mendapatkan mangkuk itu.

“Kenapa mereka (orang ramai) tidak membeli sahaja mangkuk lain? Ia bukannya mahal.

“Sekiranya pihak yang memberikan mangkuk ini berniat baik, dia patut mengedarkan balang supaya orang ramai boleh menadah air hujan ketika musim kemarau ini,” katanya.

Thaksin dalam satu mesej di laman Instagramnya memberitahu, sudah menjadi tradisi bagi dirinya mengedarkan mangkuk air secara percuma kepada orang ramai untuk menyambut pesta Songkran.

“Selama bertahun-tahun saya memberikan mangkuk secara percuma dan ia tidak mengancam keselamatan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 8:19 AM