HARRIF (dua dari kanan) mempamerkan kayuhan mantap.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Harrif Saleh membuktikan kejaguhannya apabila muncul juara peringkat ketiga Tour of Thailand (TOT), semalam.

Harrif berjaya menafikan pelumba tuan rumah Thanuwat Sanikwathi dan Nguyen Thanh Tam dari Vietnam yang terpaksa akur berada di tempat kedua dan ketiga membabitkan jarak 194 kilometer dari Sakon Nakhon ke Bueng Kan dengan masa empat jam 24 minit 35 saat.

Kejayaan pada perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia itu juga kemenangan peringkat pertama TSG tahun ini.

“Sudah pasti ia sesuatu yang menggembirakan namun ia tidak akan hadir tanpa kerja keras rakan sepasukan yang cuba mengawal perlumbaan. Mereka banyak membantu saya berada pada kedudukan terbaik melakukan pecutan.

“Ia juga menebus kekecewaan saya pada peringkat kedua semalam (kelmarin) apabila mengalami kekejangan otot ketika mendahului dengan perlumbaan hanya berbaki 50 meter,” jelas pelumba berusia 28 tahun itu.

Harrif berkata, kejayaan itu turut mengurangkan sedikit tekanan kepada dirinya dan rakan sepasukan yang lain kerana menjadi harapan semua pihak untuk melihat mereka melakar kejayaan.

Pelumba skuad negara Aiman Zarif turut cemerlang semalam apabila mengekalkan jersi pelumba terbaik ASEAN buat hari ketiga berturut-turut ketika saingan masih berbaki tiga peringkat.

Pelumba berusia 19 tahun itu mengumpul 11’38:19s, mempunyai kelebihan 2:03s ke atas pelumba Thailand Navuti Lipongyu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 7:59 AM