RONNIE (tengah) bersama anggota kumpulan Hyper Act.
KAKA
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Bukan mudah diberi peluang bekerjasama dengan akhbar nombor satu seperti Harian Metro (HM). Justeru, barisan artis yang terbabit menjayakan Konsert Karnival Padat di pekarangan Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 Disember ini bermula jam 8.30 malam, melahirkan perasaan teruja mereka untuk bertemu peminat.

Apatah lagi, matlamat penganjuran konsert ini adalah sebagai penghargaan buat semua pembaca dan pelanggan HM. Justeru kesempatan ini turut digunakan oleh barisan artis terbabit bagi menghargai peminat yang sentiasa menyokong mereka.

Kaka Azraff turut tersenarai menjayakan persembahan bersama-sama barisan artis lain iaitu Hyper Act, Nidji, Asmidar, Hazama, Fiq Mentor, Aweera, Ewal dan Nuha AF2014, Ajai dan Amelina.

Konsert akan diserikan dengan pengacara popular iaitu AG HotFM dan Jihan Muse yang pasti menambat peminat dengan gaya dan karakter selamba mereka ketika berkomunikasi.

Kaka berkata, dia akan menggunakan konsert ini sebagai medium untuk mempromosi HM serta menghiburkan peminat.

"Saya sangat berterima kasih kepada HM dan untuk itu, saya akan bawa peminat mengenali kolum-kolum menarik yang terdapat dalam HM. Peluang ini juga akan digunakan untuk memperkenalkan lagu-lagu saya," katanya.

Penyanyi utama Hyper Act, Ronnie gembira kerana diundang lagi untuk program anjuran HM. Sebelum ini mereka pernah menjayakan program Konsert Jelajah Ekspresi Harian Metro di Sabak Bernam pada awal tahun ini.

"Terima kasih HM kerana selalu memberi peluang dan tak melupakan kami. Kesempatan ini boleh digunakan buat kami untuk bertemu peminat dan memperdengarkan lagu-lagu terbaru Hyper Act buat mereka iaitu Puncak Setia, Impian dan Naluri Cinta.

"Mereka yang datang nanti bertuah kerana ini adalah kali kedua kami menyanyikan lagu-lagu baru selepas persembahan di Hard Rock Cafe, baru-baru ini.

"Bagaimanapun kami percaya peminat tentunya mengharapkan kami menyanyikan juga barisan lagu-lagu popular kami dan Hyper Act akan menyanyikannya dalam bentuk medley," katanya.

Ronnie berkata, HM banyak memainkan peranan memberi publisiti bukan sahaja untuk Hyper Act sebaliknya terhadap industri seni hiburan tempatan keseluruhannya.

"Apa yang dilakukan ini bagus kerana ia dapat menyemarakkan industri hiburan kita. Dengan bantuan HM, kami mula dikenali peminat. HM bawa kami menjelajah ke pelosok kawasan yang kami sendiri tak pernah sampai.

"Di situ kami dapat jumpa peminat dan jual sendiri CD serta merchandise Hyper Act. Perkara yang sama juga akan dilakukan di Stadium Malawati dan diharapkan peminat dapat menyokong kami," katanya.

Khairu Norliza Khairudin atau Liza pula akan mengendalikan pelbagai aktiviti menarik di booth HM yang terdapat di situ. Juara Projek Metro ini gembira kerana dapat kembali terbabit dalam program anjuran HM.

"Sebenarnya ini kali pertama saya berkumpul kembali bersama ahli keluarga HM selepas program Projek Metro berakhir. Sudah tentunya rasa teruja berada dalam konsert ini dan diberi peluang jadi sebahagian dari 'team' konsert ini.

"Terima kasih Liza buat HM dan Liza berjanji akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin," katanya yang kini bertugas sebagai penyampai Hot FM.

Sebagaimana slogan [Padat, Rugi Tak Layan', pembaca bukan sahaja disajikan dengan Konsert Padat sahaja, sebaliknya boleh terbabit dengan pelbagai aktiviti menarik menerusi Karnival HM Padat pada 6 dan 7 Disember.

Dijangkakan lebih 100,000 pengunjung akan hadir bermula seawal jam 10 pagi sehingga 7 malam pada Sabtu manakala keesokan harinya sehingga tengah malam.

Karnival ini turut dimeriahkan dengan barisan gerai-gerai penaja antaranya Maxis selaku penaja utama manakala Avon, I-Pmart, Burgerbyte dan Hemariton sebagai penaja bersama.

Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti seperti gubahan bunga, pameran dan jualan kereta baru dan terpakai, jualan aksesori kenderaan dan pertandingan modifikasi terbaik kereta dan motosikal.

Selain itu, turut menjadi tarikan pertandingan Juara Karaoke Metro, gusti lengan dan [Battle of The Band' yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:08 AM