NISSAN GT-R 2017
Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Jentera yang sinonim digelar nama timangan ‘Godzilla’ kini tampil dengan rekaan lebih segar, pengendalian serta prestasinya dipertingkatkan.

Nissan GT-R keluaran 2017 yang diperkenalkan pada Pameran Antarabangsa Auto New York minggu lalu, hadir dengan perubahan besar selepas 10 tahun lalu.

Perubahan luarannya dengan garisan tajam membuatkan kereta itu tampak sporty dan memberi kecekapan aerodinamik pada kelajuan tinggi.

Bentuk luarannya hadir dengan jeriji ‘V-motion’ yang menjadi tandatangan reka bentuk baharu Nissan, selain saluran udara diperbesarkan bagi menyejukkan enjin.

Jika dilihat pada bonet hadapannya, ia mempunyai garisan yang kelihatan bersambung dengan jeriji dan turut berfungsi bagi meningkatkan kestabilan ketika memandu pada kelajuan tinggi.

Lebih menarik, jentera berkenaan hadir dengan spoiler hadapan baharu yang diletak pada bawah lampu utama bagi memberi gaya lebih garang kepada Nissan GT-R.

Gaya dan pengaliran udara belakang dipertingkatkan dengan padanan lampu GT-R berbentuk seperti cincin sekali gus membuat kereta kelihatan lebih luas dan agresif.

Ruang kabinnya menerapkan rekaan gaya premium dipadankan papan pemuka berkonsepkan ‘aliran mendatar’ untuk menyalurkan rasa kestabilan kepada penumpang hadapan.

Bahagian papan pemukanya juga dipadankan dengan kawalan panel sesentuh lapan inci dengan sistem navigasi dan kawalan audio bagi mengurangkan bilangan suis.

Ia turut dikemas kini dengan tempat duduk kulit menggunakan material nipis untuk mengurangkan berat serta menawarkan keselesaan optimum. Pertukaran gear dipermudahkan dengan tombol di belakang stereng baharu bagi memberi tumpuan kepada pemanduan.

Sementara itu, rangkaian kuasa di bawah bonet hadapan dilengkapi dengan enjin 3.8 liter V6 pengecas turbo berkembar menyampaikan 565hp pada 6800rpm dan tork setinggi 633Nm. Prestasi itu meningkat sebanyak 20hp dengan tork 5Nm berbanding model tahun lalu.

Ia didatangkan transmisi klac berkembar enam kelajuan yang ditala untuk kelancaran dan kurang bunyi. Bunyi ekzos lebih agresif dengan padanan material titanium serta dipadankan sistem Peningkatan Aktif Bunyi (ASE) bagi meningkatkan pengalaman memandu, terutama ketika memecut.

Difahamkan, Nissan GT-R 2017 boleh didapati pada musim panas ini.

INFO

- Enjin: 3.8 liter V6

- Kuasa maksimum: 565hp pada 6,800rpm

- Tork maksimum: 633Nm antara 3,300 sehingga 5,800rpm

- Panjang: 4.71 meter (m)

- Lebar: 1.895 m

- Tinggi: 1.37 m

- Jarak roda: 2.78 m

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:01 AM