FOTO akaun Instagram Wak Doyok
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wak Doyok enggan mengulas dakwaan dia dan bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim sedang bercinta.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Muhammad Azwan Mohd Nor, 36, berkata, perkara itu terlalu peribadi untuk dijawab.

“Maafkan saya. Ia terlalu peribadi dan saya tidak mahu mengulas. Lagipun saya tidak mahu setiap komen atau jawapan saya disalah tafsir. Sebab itu lebih baik saya berdiam diri," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, gosip percintaan Wak Doyok dan Azrinaz tersebar di media sosial selepas mereka sering dilihat datang bersama menghadiri beberapa majlis.

Malah, kekerapan mereka memuat naik gambar serta tulisan berbaur romantik di Instagram menguatkan lagi dakwaan itu.

"Saya buat tak tahu saja apa yang peminat atau orang sekeliling perkatakan. Persepsi mereka saya anggap biasa saja.

"Malah, apabila gosip seperti ini tersebar, saya tidak terkejut pun. Cukup antara saya dan dia saja tahu," katanya.

Wak Doyok yang juga pengacara program Ke Korea Ke Kita menjelaskan dia dan Azrinaz sesekali berjumpa jika menghadiri acara tertentu.

"Kalau orang kata kami selalu bersama sebab berkongsi minat sama iaitu feysen, tidak juga sebab saya selalu buat hal sendiri. Tidak wajar untuk orang memberi andaian sedemikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 2:42 PM