FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Sepang: Kakitangan Imigresen dan teman lelakinya direman tujuh hari, bermula hari ini, bantu siasatan berhubung kematian bayi perempuan 19 bulan, di Putra Perdana Sepang, Khamis lalu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Sepang Alpha Anak Dragam.

Suspek lelaki berusia 22 tahun dilihat tiba di kompleks mahkamah pada 9.30 pagi.

Suspek wanita pula yang berusia dalam lingkungan 30-an tiba berasingan sejurus selepas itu.

Kira-kira 12 tengah hari, Khamis lalu, suspek lelaki yang bekerja sendiri dipercayai menghempas Hannah Sufiyah Muhammad Adib selepas bayi itu dikatakan menangis kerana ingin mengikut ibunya ke tempat kerja.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia klinik di Putra Perdana ketika mendapatkan rawatan.

Laporan bedah siasat mendapati sebab utama kematian mangsa adalah pendarahan di kepala dan pendarahan di perut.

Suspek lelaki yang berasal dari Marang, Terengganu, ditahan di Hospital Serdang, semalam, sebaik selesai bedah siasat.

Ibunya pula ditahan di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Buloh, Selangor kira-kira 8 malam, ketika membawa jenazah bayi itu untuk dikebumikan di kampungnya di Alor Setar, Kedah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 12:49 PM