LIM melakukan sentuhan terakhir ke atas kaligrafi Cina ketika majlis perasmian pusat jualan ' 8Kia Peng, King of The Hill'.
myMetro

Kuala Lumpur: I-Berhad (I-Bhd) menjangkakan projek ikoniknya di Kuala Lumpur, 8Kia Peng akan menjadi penyumbang utama dalam nilai jualan projek hartanahnya pada 2019 memandangkan ia mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM1 bilion.

Ketika ini, I-Bhd mempunyai dua projek utama hartanahnya, projek pembangunan bersepadu di i-City, Shah Alam dan terbaru, 8Kia Peng tahun sebelum ini, i-City penyumbang utama jualan keseluruhan segmen perniagaan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, sejak 8Kia Peng diperkenalkan pada beberapa minggu lalu ia telah mendapat pertanyaan daripada pelbagai pihak ingin memiliki ruang perniagaan dan kediaman dibangunkan dalam projek berkenaan.

Beliau berkata, malah, ada pihak mula menunjukkan minat membeli keseluruhan blok di 8Kia Peng memandangkan kedudukan strategik dan mempunyai nilai hartanah tinggi.

“Projek ini disasarkan dapat menarik 70 peratus pembeli antarabangsa dan 30 peratus tempatan malah ketika ini kami telah mendapat banyak pertanyaan daripada pembeli asing.

“Kedudukannya terletak di Zon 1 KLCC menawarkan pemandangan baik untuk pembeli selain terdapat pelbagai kemudahan lain di sekelilingnya,” katanya selepas merasmikan pembukaan Galeri jualan 8Kia Peng di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut membuat sentuhan terakhir bagi menyiapkan poster kaligrafi cina yang mencerminkan 8Kia Peng sebagai ‘King of The Hill’.

Lim berkata, pihaknya optimis industri hartanah di Malaysia mempunyai potensi besar untuk diterokai bersandarkan kemampuan syarikatnya membangunkan projek ikonik berkenaan dan projek i-city yang kini di dalam landasan yang betul untuk disiapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:03 AM