JEFFRI (kiri) bersama kakitangannya membuat persediaan di ruang pameran, semalam.
Oleh Norfaisal Jahuri
sukan@hmetro.com.my

Jasin: Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu berganding bahu bekerjasama memajukan Asahan sebagai kawasan pelancongan sukan dengan terus menganjurkan kejohanan berbasikal lasak selepas ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan (Tourism) negeri Jeffri Munir berkata, kedua-dua pihak terbabit sepatutnya mengambil alih tugas menyelenggara trek basikal lasak itu selepas tamat Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014.

Katanya, inisiatif itu perlu diteruskan bagi tujuan mempromosikan Asahan sebagai produk pelancongan sukan.

“Kita lihat ramai peserta dari seluruh negara dan antarabangsa hadir di kejohanan ini. Jadi sesuatu perlu dilakukan supaya mereka kembali.

“Saya sangat berharap MPJ dan MSN dapat mengambil peluang ini bagi menjalinkan usaha sama untuk memajukan Asahan sebagai pusat aktiviti pelancongan sukan,” katanya.

Jeffri berkata, trek berkenaan perlu diselenggara supaya aktiviti berbasikal dapat terus dianjurkan, baik di peringkat daerah, kebangsaan atau antarabangsa.

“Saya sangat berharap kawasan Asahan akan menjadi lokasi pelancongan sukan terkenal di negara ini selepas kejohanan ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi menyemarakkan suasana kejohanan, pihaknya turut mengadakan demonstrasi membuat anyaman bakul dan kasut manik.

“Orang ramai boleh mengambil peluang ini untuk berkunjung dan menyaksikan demonstrasi kraftangan tradisional tempatan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:05 AM