MUHAMAD Nur Hishamuddin (dua dari kanan) melawat kaunter pendaftaran sambil diiringi Penyelia Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan Mohamad Nizam Abu Talib (tengah).

Jasin: Jalan Kolam Air-Asahan akan ditutup kepada lalu lintas buat sementara bermula jam 7.50 pagi ini bagi memberi laluan kepada peserta kejohanan.

Laluan itu menjadi sebahagian daripada trek perlumbaan yang bermula dari Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan sehingga ke persimpangan masuk ke Kampung Sialang dengan jarak kira-kira 7.5 kilometer.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Supritenden Muhamad Nur Hishamuddin Hashim berkata, anggota trafik akan mengawal lalu lintas serta menutup sementara laluan itu bagi memberi laluan kepada 1,400 peserta yang akan menggunakan laluan terbabit sebelum mereka masuk ke laluan lasak di Kampung Sialang.

Katanya, penutupan itu hanya sementara dan bertujuan memastikan keselamatan peserta.

“Peserta akan dilepaskan secara berperingkat-peringkat dengan kategori XC Race Metro dan Terbuka Metro (Jamboree). Apabila kami dimaklumkan semua peserta sudah memasuki laluan lasak, jalan itu akan dibuka semula kepada lalu lintas,” katanya.

Muhamad Nur berkata, pihaknya akan mengawal laluan di semua persimpangan di sepanjang laluan perlumbaan itu selain mendapat bantuan penguat kuasa Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Beliau berharap orang ramai terutamanya penduduk dapat memberi kerjasama sepanjang kejohanan itu berlangsung.

“Sekiranya ada urusan penting, diharapkan mereka dapat keluar lebih awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:05 AM