ZULHAMIZAN (dua dari kiri) ditenangkan oleh rakan apabila diarahkan keluar dari kawasan perlawanan.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya lapan pemain dan pegawai terbabit dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) digantung daripada beraksi mahupun menguruskan pasukan berkuat kuasa serta merta seperti mana diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Namun keputusan menggantung jurulatih Kuantan FA Zulhamizan Zakaria paling mencuri tumpuan apabila digantung tujuh bulan dan denda RM3,000 selepas didapati bersalah kerana berkelakuan ganas dalam dua aksi Liga Perdana.

Zulhamizan didapati bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan ketika aksi Piala FA bertemu Perak di Stadium Perak, Ipoh pada 5 Mac lalu selain mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah kepada pengadil pada aksi bertemu UiTM FC dalam Liga Perdana, 26 Februari lalu.

Dia didakwa melanggar Artikel 51.1 (a) & (b) Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘salah laku terhadap pegawai perlawanan’ dan dibaca bersama dengan ‘Artikel 59 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘kelakuan yang menyinggung dan fair play’.

Selain itu, pemain import Kuala Lumpur, Mario Marlovic pula digantung dua perlawanan kerana berkelakuan ganas terhadap pemain Perlis ketika aksi Piala FA di Kangar pada 5 Mac lalu.

Pemain Perlis Azmizi Azmi turut digantung dua perlawanan kerana berkelakuan ganas terhadap pemain Kuala Lumpur pada aksi Piala FA di Kangar, 5 Mac lalu.

Malah, jawatankuasa itu turut memutuskan pemain Sabah Maxsius Mus digantung empat perlawanan dan denda RM2,000 selepas didapati bersalah menunjukkan isyarat lucah kepada pengadil perlawanan ketika aksi menentang Melaka di Stadium Likas pada 11 Mac lalu.

Sementara itu, pembabitan pegawai Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) Nick Sham Abdullah sebagai jurulatih pasukan Malaysia All Stars dalam perlawanan yang tidak diiktiraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) antara pasukannya menentang Persib Bandung, akhirnya ditimpa malang.

Nick Sham didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 67 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘kegagalan mematuhi keputusan’ dan dikenakan hukuman gantung enam bulan daripada terbabit dengan sebarang perlawanan bola sepak di Malaysia berkuat kuasa serta merta dan didenda RM1,500.

Pemain kelab Megah Murni Anbalagan Madivana dan tonggak pasukan MISC-MIFA serta Kilat FC Fauzi Abdul Kadar dan Ahmad Faizal Salleh turut digantung dua bulan kerana mengikut Nick Sham beraksi untuk Malaysia All Stars di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, 24 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 6:28 AM