HISHAMMUDDIN dua dari kiri) bersama Suhaimi (tiga dari kiri) dengan lukisan kembar tiga berskala besar bertajuk ‘Hishammuddin Hussein Onn’.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Artis kontemporari Suhaimi Fadzir tampil dengan pameran solo terbarunya berjudul Bebas menampilkan 25 karya dihasilkan sejak lapan tahun lalu.

Pameran di Galeri Artcube ini mempamerkan kreativiti dan kepakarannya menghasilkan ‘Archipainting’ iaitu seni unik gabungan seni bina dan seni lukis menggunakan campuran media.

Antara karya yang menjadi fokus utama dalam pameran ini ialah ‘Ferguson (For The People)’, ‘Ferguson (Hands Up, Don’t Shoot)’, ‘Merdeka 1957’ dan ‘Kontrak Sosial’.

Keempat-empat karya berkenaan menjadi permulaan kepada Bebas kerana ia dilihat melambangkan keseluruhan pameran itu.

Bukan saja menampilkan kreativiti Suhaimi dalam memperkenalkan genre ‘Archipainting’, elemen dalam komposisi karya itu turut mempunyai pengaruh kuat yang boleh dilihat dalam keseluruhan koleksi pameran.

Empat karya itu dihasilkan dengan campuran media daripada objek yang dijumpai atau dikitar semula dan sering digunakan Suhaimi sepanjang kariernya.

Suhaimi turut mempamerkan pemahaman mendalam serta kaedah menstruktur karya menggunakan beberapa lapisan.

Pameran turut memperlihatkan kepintaran Suhaimi menyampaikan subjek meliputi pelbagai bidang seperti politik, masyarakat dan agama.

Karya lain yang menarik perhatian ialah lukisan kembar tiga berskala besar diberi nama ‘Hishammuddin Hussein Onn’ yang memaparkan potret unik tiga generasi dalam politik negara iaitu Datuk Onn Jaafar, Tun Hussein Onn dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin yang turut hadir pada pelancaran pameran Bebas sempat bergambar dengan karya istimewa itu yang menggunakan beberapa lapisan dengan lapisan pertamanya logo cetakan.

Pameran berkenaan turut memperkenalkan siri Jawi dan neon menggabungkan penggunaan lampu neon dan tulisan tangan kaligrafi ayat al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 5:01 AM