ARTIS beri pandangan tindakan sebabkan kawasan Bukit Bintang lumpuh.
Syanty Octavia Amry danMichelle Gun
am@hmetro.com.my


Kawasan sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur lumpuh selama dua jam berikutan tindakan hampir 300 pemandu teksi mengadakan mogok dengan menghentikan kenderaan mereka di tengah jalan utama di kawasan itu, pagi Selasa lalu.

Tindakan itu dianggap ‘kemuncak’ rasa tidak puas hati kumpulan pemandu teksi terbabit terhadap tindakan kerajaan membenarkan perkhidmatan alternatif seperti Uber dan Grab beroperasi di negara ini.

Kejadian itu menyebabkan ratusan kenderaan tersekat hampir dua jam di sekitar Bukit Bintang apabila hampir 100 teksi diletakkan pemiliknya di tengah jalan.

Isu itu turut mendapat perhatian beberapa artis. Pengalaman menaiki teksi membuatkan ada yang berpandangan tindakan mereka melakukan mogok mungkin bersebab.

Arja Lee (Pelakon, penyanyi)

“Pastinya ada sebab mereka melakukan mogok. Rasanya sudah tiba masa kerajaan melakukan sesuatu untuk membantu mereka.

“Mungkin boleh menyatukan pemandu teksi untuk menyertai Uber atau Grab. Berilah peluang untuk mereka terus mencari rezeki.

“Uber dan Grab mungkin menjadi pilihan ramai sekarang, tetapi masih ada kekurangannya.

“Jika kita berada di kawasan yang tiada liputan, pasti sukar menggunakan perkhidmatan mereka.”

Siti Elizad (Penyanyi)

“Walaupun sudah lama tidak menggunakan perkhidmatan teksi, bagi saya tindakan itu tidak sepatutnya berlaku.

“Pada saya perkara seperti ini perlu dibawa berbincang dan tidak perlu mogok seperti itu.

“Pengalaman saya menaiki teksi, ada sesetengah pemandu yang sesuka hati meletakkan harga tambang dan ini menyusahkan penumpang.

“Walaupun saya belum pernah menggunakan teksi Uber dan Grab saya dengar perkhidmatannya lebih telus daripada segi harga dan mereka akan datang terus mengambil kita di hadapan rumah,” katanya.

Ryzal Jaafar (Pelakon)

“Tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya membuat pengguna takut menggunakan pengangkutan itu sekali gus menjejaskan imej pemandu teksi.

“Kejadian pemandu teksi menyerang pemandu Uber dan penumpang sebelum ini membuatkan orang ramai berasa waswas.

“Pengguna bebas memilih jenis perkhidmatan pengangkutan lain selain teksi. Tidak salah kalau pengguna mahu guna khidmat Uber atau Grab. Bagi saya paling penting adalah perkhidmatan yang baik dan selesa.

“Apabila mahu cepat, saya akan menggunakan mana-mana perkhidmatan pengangkutan awam yang paling cepat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 5:00 AM